Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujudnya usaha Umno untuk 'memikat' beberapa ahli parlimen parti itu, termasuk ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail
Anwar berkata, usaha tersebut diketuai oleh bekas menteri kabinet, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dan juga pemimpin Parti Cinta Malaysia, Huan Cheng Guan, yang menghubungi Azan melalui telefon bimbit.
"Azan beritahu secara khusus bahawa Huan daripada Parti Cinta Malaysia cuba untuk pikat dia," katanya yang menerima bukti hubungan itu dibuat melalui telefon bimbit Azan.
"Maknanya usaha itu berjalan, cara merasuah dan menyogok parti itu ada. Sebab itu saya minta Azan (kanan) ada di sini sendiri untuk mengesahkan Huan (Cheng Guan) daripada Parti Cinta Malaysia dan Datuk Jamaludin Jarjis itu hubungi beliau," tambahnya.
Jelasnya, usaha itu mengambarkan tawaran untuk Azan meninggalkan PKR dalam masa terdekat.
Katanya lagi, ahli parlimen Balik Pulau Yusmadi Mohd Yusuff (kiri) juga disahkan menerima pelawaan seperti itu.
"(Yusmadi) ada (dalam mesyuarat) dan beritahu (pelawaan) itu semua karut," katanya lagi dan menambah usaha berkenaan termasuklah usaha untuk merampas kerajaan Pakatan di Selangor.
"Semua ini termasuk hendak rampas Selangor, hendak dakwa Tan Sri Khalid, hendak beli ahli-ahli parlimen dan ADUN nak dilakukan sebelum hari raya Cina kerana bila hari raya Cina keadaan reda selama dua minggu," katanya lagi.
Anwar yang juga ketua pembangkang memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR di Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya hari ini.
---------------------------------------------
KDN pantau blog, laman web
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bukti kini sedang dikumpul dan apabila mencukupi akan digunakan untuk mengheret mereka yang menyentuh sensitiviti seperti institusi Raja-raja Melayu, perkauman dan agama ke muka pengadilan.
"Tindakan kita kebelakangan ini menunjukkan keseriusan kita untuk membawa sesiapa saja asal cukup bukti ke mahkamah," katanya.