Mengapa RM300,000 Tidak Disimpan Di Bank?
Azan Ismail mempersoalkan bagaimana seorang exco BN mampu mengumpulkan wang sebegitu banyak, untuk apa wang itu akan digunakan dan mengapa ia tidak disimpan dalam peti simpanan bank.
Akhbar The Star 6 Julai lalu melaporkan tindakan pantas polis menembak mati empat penjenayah yang memecah masuk rumah Datuk Wan Adnan Wan Mamat di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.
“Saya hendak rujuk pada satu laporan akhbar The Star pada 6 Julai 2010 di mana melaporkan tindakan pantas pihak polis berjaya menembak suspek atau pun yang diklasifikasikan sebagai perompak di dalam satu kejadian pecah rumah di Kuantan yang melibatkan salah seorang Exco kerajaan negeri di dalam bidang sukan dan belia.
“Tetapi dalam berita ini menyiarkan bahawa perompak telah melarikan RM300 ribu wang tunai daripada kediaman beliau dan perkara ini telah menimbulkan banyak persoalan bagaimana Exco seorang kerajaan negeri boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam simpanan,” katanya.
Beliau berkata adalah menjadi perkara luar jangkaan apabila seorang Exco berani menyimpan wang yang begitu banyak di kediamannya memandangkan ia boleh menimbulkan pelbagai sangkaan.
"Hari ini begitu banyak berita berkenaan simpanan tunai yang berkaitan kerajaan beberapa isu kita dengar di Pulau Pinang dan sebagainya yang melibatkan kakitangan kerajaan ataupun orang yang diberi amanah oleh kerajaan sebagai pentadbir termasuk Exco.
"Kita minta pihak berkuasa menyiasat adakah kebenaran laporan akhbar ini bagaimana seorang Exco kerajaan negeri boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam kediamannya yang menjadikan kes ini kes rompakan dengan kesudahan empat orang ditembak mati oleh pihak polis yang juga menimbulkan banyak isu yang mana lima tahun kebelakangan ini banyak kes-kes tembakan yang menyebabkan berlaku kematian kepada suspek atau juga orang-orang yang di anggap penjenayah,” katanya. (Sumber TVS)
PDRM Perlu Dedah Laporan Penuh Perompak Ditembak Mati
Beliau berkata pihak polis tidak menceritakan bagaimana penjenayah tersebut ditembak mati dan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya apabila penemuan empat butir peluru dari rumah Exco berkenaan turut dapat dikembalikan.
“Pertama sekali polis belum menjelaskan keadaan bagaimana penjenayah ini ditembak mati.Siapakah mereka, adakah merupakan satu desakan dan satu keperluan, untuk membunuh ke empat-empat orang.
“Saya percaya tidak ada orang yang melarikan diri, tidak ada survivor dalam kejadian ini, ke empat-empatnya semua ditembak mati dan kita hendak tahu apa senjata yang mereka pakai dan kenapa perlunya membunuh semua.
"Kita rasa pelik, kenapa perlunya perompak curi peluru dan akhirnya dapat dikembalikan. Ini satu cerita yang sangat pelik sekali," katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bimbang apabila merujuk jawapan bertulis yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di parlimen mencatatkan jumlah orang awam yang ditembak mati oleh anggota polis meningkat daripada 9 orang kepada 88 orang pada tahun lalu.
“Saya juga ingin memetik statistik rasmi yang dijawap oleh KDN dalam Dewan, pada 2005, 9 orang ditembak mati dalam insiden polis, 2006, 16 orang ditembak mati, 2007, 13 orang, 2008 82 orang dan 2009 88 orang, untuk tahun ini kita belum ada statistic tahun ini,” katanya.