Dalam pertemuan bersejarah semalam, Nik Aziz menghadiahkan satu kek kepada Bishop Sebastian, yang menerajui Penang Diocese yang meliputi Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.
Di atas kek itu tertera perkataan mudah tapi penuh bermakna: “Kpd: Yg Mulia Bishop, Daripada: Tn Guru Dato Nik Aziz, Mursyidul Am PAS.”
Dalam pertemuan itu, Sebastian mendoakan kesihatan kepada Tuan Guru Nik Aziz.
Dalam perbincangan mereka, TG Nik Aziz menyentuh mengenai hal kerohanian, di mana perkara ini sangat dipersetujui oleh Sebastian yang turut merintih mengenai fokus berlebihan pada kebendaan dalam pembangunan insan masa kini.
“Negara ini perlukan kekuatan kerohanian Tuan Guru sebagai contoh,” kata Sebastian yang dipetik Anil Netto, seorang wartawan yang hadir bersama dalam pertemuan tersebut.
Kedua tokoh itu turut bersetuju bahawa tenaga yang dihabiskan untuk pertelingkahan agama sepatutnya boleh digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat.
Semasa mengambil gambar bersama, Nik Aziz juga sempat bergurau mengenai pertemuan tersebut.
“Saya tak pasti apa media media perdana akan tulis mengenai pertemuan kita,” kata beliau.
Turut bersama dalam pertemuan itu ialah ahli parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa.
Semalam, Tuan Guru Nik Aziz turut meraikan hari jadinya di kediaman Pengerusi DAP Karpal Singh.
Pertemuan tersebut melahirkan air mata gembira bagi para penyokong Pakatan Rakyat kerana tanda sepakat antara dua pemimpin tersebut cukup terserlah.
Karpal yang teramat gembira dengan kehadiran Nik Aziz itu berkata beliau terkejut kerana pemimpin PAS itu tiba 30 minit lebih awal.
"Kehadirannya memberi mesej yang kuat bahawa kesatuan kami tetap utuh walau dengan apa yang telah berlaku.
"Kami memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain," katanya.