Jumaat, 20 Disember 2013
Dana zakat dan Melayu Islam muflis - Ram Al Jaffri Saad
Pada 13 Disember lalu, akhbar ini (Utusan Malaysia) ada melaporkan mengenai program bantuan perkahwinan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mana pada tahun ini seramai 1,310 asnaf dengan jumlah RM1,624,300 menerima bantuan tersebut.
Tujuan inisiatif ini adalah bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf terutama golongan fakir, miskin dan mualaf yang ingin mendirikan rumahtangga.
Usaha dan kreativiti dalam mengagihkan bantuan zakat seperti ini adalah amat baik terutama bagi mengurangkan masalah peningkatan kes pembuangan bayi yang disebabkan oleh pergaulan bebas antara lelaki dengan wanita. Justeru, ia wajar diteruskan pada masa hadapan dan dikembangkan lagi dalam aspek yang lain pula.
Atas dasar tersebut, penulis ingin mencadangkan bahawa transformasi agihan dana boleh dilakukan bagi tujuan membayar hutang bagi penghutang Melayu Islam yang diisytihar sebagai muflis untuk membantu mereka keluar daripada masalah tersebut.
Asas kepada cadangan ini ialah masalah muflis di kalangan Melayu Islam semakin membimbangkan mutakhir ini. Mengikut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), seramai 9,471 orang diisytiharkan muflis sehingga suku ketiga 2012. Satu laporan menunjukkan bahawa setiap hari seramai 41 belia diisytihar muflis.
Dalam kes peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman pelajaran dan berdepan dengan tindakan disenarai hitamkan, kaum Melayu Islam mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 328,550 diikuti Cina (55,445) dan India (28,250). Mereka ini akan berdepan dengan risiko muflis jika masih gagal menjelaskan hutang pada masa hadapan. Masalah muflis ini akan berlarutan jika tiada penyelesaian holistik dicari.
Umum mengetahui bahawa kutipan zakat meningkat dari setahun ke setahun. Peningkatan jumlah zakat yang begitu banyak menyebabkan ketidakseimbangan antara jumlah yang dikutip dan jumlah yang diagih kepada asnaf. Natijahnya, berlaku lebihan dana yang tidak diagihkan.
Dana zakat boleh digunakan bagi penyelesaian masalah ini berdasarkan kepada dua asas, iaitu orang yang berhutang adalah asnaf zakat dan objektif sebenar zakat adalah untuk pembangunan ekonomi ummah.
Pertama, di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 60 yang bermaksud: "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanya untuk orang fakir dan miskin dan amil-amil dan muallaf yang dijinakkan hati-hati mereka dan hamba-hamba yang hendak memerdekakan dan orang-orang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan".
Seperti yang terkandung di dalam ayat di atas, satu daripada golongan masyarakat yang layak menerima duit zakat ialah orang-orang yang berhutang atau al-gharimin. Siapakah yang termasuk di dalam golongan ini?
Maklumat yang diperolehi daripada Portal Rasmi Fatwa Malaysia yang dikelola oleh Bahagian Pengurusan Fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui laman sesawang www.e-fatwa.gov.my, al-gharimin merupakan orang berhutang yang layak menerima zakat, iaitu orang yang berhutang untuk faedah awam seperti untuk menghapuskan persengketaan antara dua pihak dan sebagainya.
Menurut fatwa itu lagi, bagi individu yang berhutang untuk tujuan peribadi, mereka hanya boleh dimasukkan ke dalam asnaf ini dengan syarat seseorang individu mestilah tidak memiliki harta dalam kadar yang mencukupi (haddul kifayah).
Maksud golongan yang berhutang ini jika diaplikasikan dalam konteks semasa adalah meliputi golongan masyarakat yang membuat pinjaman yang tidak bercanggah dengan syarak. Tujuan sesuatu hutang yang dibuat akan menjadi penentu sama ada orang yang berhutang tersebut layak atau tidak menerima dana zakat bagi membayar hutangnya.
Sebagai contoh, peminjam PTPTN yang tidak mempunyai sumber dana bagi menjelaskan pinjaman pelajaran boleh tergolong sebagai al-gharimin. Peminjam yang menggunakan kad kredit untuk membeli barang keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang bukan bertujuan bermegah-megah juga tergolong dalam golongan asnaf ini.
Maksud golongan ini boleh juga dikembangkan kepada orang yang berhutang dengan 'ah long'. Umum mengetahui betapa kejamnya 'ah long' menyeksa mereka yang tidak mampu membayar hutang. Seksaan dan ancaman yang diberikan amat dahsyat dan tidak berperikemanusiaan.
Golongan ini wajar dibantu di bawah asnaf al-gharimin dengan syarat hutang yang dibuat mestilah untuk tujuan baik bukannya untuk berjudi atau melakukan maksiat.
Kedua, membantu golongan asnaf al-gharimin akan mencapai objektif sebenar zakat. Satu daripada objektif zakat ialah untuk pembangunan ummah. Ummah akan membangun apabila ekonomi dijana dengan baik dan pendapatan orang Islam meningkat.
Jika ramai orang Islam muflis, bagaimana ekonomi ummah dapat diperkasakan? Penulis bersetuju dengan pandangan bahawa "orang muflis umpama hidup dalam 'koma', masih 'bernyawa' tapi tak mampu berbuat apa-apa".
Dalam konteks ini, semakin banyak orang Melayu Islam yang muflis, semakin sukar untuk ummah membangun. Justeru, membebaskan orang Islam daripada muflis merupakan antara jalan bagi terus memperkasa ekonomi Bumiputera.
Institusi zakat negeri-negeri boleh mengambil contoh daripada tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam. Penulis dimaklumkan oleh seorang rakan bahawa dana zakat di sana digunakan untuk membantu penghutang kad kredit membayar hutang bagi mengelak masalah muflis.
Pembiayaan dilakukan hanya sekali sahaja bagi setiap penghutang. Langkah yang diambil tersebut mungkin boleh dipelajari dan dikaji dengan lebih menyeluruh jika ingin dilaksanakan di negara kita.
Justeru, penulis merasakan sudah tiba masanya dana zakat diperluaskan penggunaannya bagi membantu orang Islam yang muflis untuk keluar daripada masalah tersebut.
Membebaskan mereka daripada muflis bererti pembangunan ekonomi Melayu Islam akan bertambah baik. Walaupun inisiatif ini mungkin bakal mengundang pelbagai kontroversi, namun setidak-tidaknya tulisan ini diharap mampu membuka jalan kepada pihak berwajib untuk merencana satu kaedah efektif bagi menyalurkan dana zakat kepada Muslim muflis. – utusan.com.my, 20 Disember, 2013.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan dan Pengurusan, Universiti Utara Malaysia.
Masyarakat kita tidak acuh tak acuh
Kadar yang pesat kehidupan moden, terutamanya di kawasan bandar, semua orang sibuk dengan pelbagai tekanan hidup, kaki untuk berdiri di atas, undang-undang dan perintah, penipuan social-demografi yang kerap, sukar untuk mengenal pasti orang yang baik dan buruk. Kekurangan komunikasi atau kepercayaan antara orang, sifat manusia secara beransur-ansur pudar atau hilang, sosial dan oleh itu menjadi acuh tak acuh.
Perasaan masyarakat cinta tidak mementingkan diri sendiri, bukan sahaja oleh orang-orang yang menderita kesakitan, memulihkan kesihatan untuk melihat harapan.
Langgan:
Catatan (Atom)