Hanya klik iklan untuk sedekah amal jariah. Dengan menekan/ klik iklan di halaman ini anda telah membuat sedekah kepada admin...t.kasih

Allah berfirman dalam Surah al-Hujuraat ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada sangkaan itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah menjadi mayat tentu sahaja kamu tidak suka. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat lagi bersifat ar-Rahim."

tersurat tersirat

tersurat tersirat
-Saya suka PAS kerana merapati pemimpin dan ahlinya menjadikan saya orang yang baik. Saya mudah menginsafi hidup yang akan menemui matinya. Saya suka UMNO kerana merapati pemimpin dan ahlinya menjadikan saya peka untuk memahami kesusahan rakyat, khususnya menjaga kepentingan bangsa saya. Saya suka PKR dan DAP kerana merapati pemimpin dan ahlinya menjadikan saya bersemangat untuk memperjuangkan keadilan dan menegakkan hak-hak rakyat yang terpinggir. Saya tidak nyatakan parti-parti lain kerana dua sebab. Pertama, bersifat tempatan seperti parti-parti Sabah dan Sarawak. Kedua, kerana kemunculannya sudah semakin tidak relevan. Saya tidak suka PAS kerana mudah melabelkan orang yang tidak menyokongnya sebagai tidak Islamik. Saya tidak suka UMNO kerana bersikap double standard dan angkuh dengan kuasa. Saya tidak suka PKR dan DAP kerana menunjukkan imej memperjuangkan kebebasan, tetapi realitinya tetap alergik pada perbezaan pendapat. .

ketuanan melayu

ketuanan melayu

Ahad, 6 Jun 2010

Lelaki gendut lari dari PKR dan halangan masuk masjid

Apabila Hishamuddin Rais berleter:



Saya telah mengikuti perkembangan Parti Keadilan Nasional (PKN) dari dulu lagi. Dalam sejarah awalnya, parti ini ditubuhkan di Hotel Renaisance Kuala Lumpur pada tahun 1998. Pelancaran PKN ini berlangsung disebuah hotel yang agak chic dan mahal.

Saya tidak masuk pun ke dalam dewan hotel itu. Saya hanya berlegar di tepi jalan di hadapan hotel. Saya ternampak ramai lelaki berperut gendut dan berbaju batik berlengan panjang keluar masuk dalam hotel. Saya berdiri di tepi jalan sebagai pemerhati dari jauh.

Babak petama di Hotel Renaissance ini berlangsung ketika ramai penyokong Anwar Ibrahim menganggap tidak lama lagi Anwar akan menjadi perdana menteri. Maka mereka pun melabur. Melabur untuk parti politik ini adalah teras hegemoni budaya Gerombolan United Malays National Organistion.

Dalam pilihan raya tahun 1999 - ramai juga lelaki berperut gendut dan berbaju batik yang menampil diri dan melabur lagi. Perlaburan mereka jatuh meleset. Maka berakhirlah zaman 'pink form Anwar Ibrahim'. Maka bermulalah zaman realis bahawa kuasa bukan di tangan individu atau kerana retorik individu tetapi dengan penyusunan ombak rakyat yang kompak untuk mendobrak kerajaan zalim BN.

Saya datang ke kongres parti hanya untuk melihat. Bukan untuk mendengar ucapan atau untuk mendengar gebang ahli-ahli politik. Sekali sekala saya mendengar juga. Tapi ini bukan tujuan asal. Saya menghadirkan diri untuk memerhatikan apakah yang dipakai oleh orang yang datang ke perhimpunan tersebut. Atau apa baju dan kasut yang di pakai oleh ahli-ahli parti. Untuk saya ini lebih penting dari seribu ucapaan.

Ketika Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan PKN bercantum pada tahun 2002 - satu upacara telah di adakan di Dewan Perhimpuan Cina Kuala Lumpur. Ketika itu saya datang menebeng dan melihat dari jauh. Saya perhatikan dewan besar tidak penuh - banyak kerusi kosong. Lelaki berperut gendut dan berbaju batik hampir pupus.

Ada muka-muka baru yang saya lihat ramai - apek China memaki baju-t berkolar dan berselipar. Ini pendatang baru. Lalu saya mengambil kesimpulan bahawa si apek yang berselipar ini pastilah datang dari PRM. Yang berkopiah putih tidak bagitu ramai. Yang berbaju Melayu, bersamping dan bersongkok langsung tidak kelihatan. Mak cik bertudung labuh pun tidak kelihatan. Anak muda kelihatan ramai.

Kongres di tokong amat radikal

Dari pemerhatian ini saya mengambil kesimpulan bahawa satu budaya baru telah muncul di dewan perhimpuan Cina ini. Malah satu sejarah terlakar kerana percantuman dua parti politik yang berasaskan warga Melayu telah diadakan di dewan perhimpuan Cina dan dihadiri oleh ramai apek Cina dan anak muda. Selipar Jepun dan baju-t Pagoda telah diterima untuk masuk ke persidangan.

Zaman berarak dan beredar. Satu lagi kongres PKR telah diadakan. Kali ini di Ipoh. Saya juga datang menumpang untuk melihat siapa yang datang dan apa pakaian yang akan dipakai. Dalam negara kuku besi seperti Malaysia ini bukan senang sebuah parti pembangkang untuk mendapat tempat mengadakan persidangan.

Jika hotel dilamar - hotel ini akan diberi amaran. Dewan milik orang ramai yang bersepah-sepah tidak mungkin dibenarkan untuk dipakai oleh parti pembangkang. Puak gerombolan akan menindas dengan pelbagai cara untuk memastikan kuasa terus di tangan mereka. Akhirnya kongres PKR di Ipoh telah diadakah di sebuah tokong.

Nah! Ini satu sejarah lagi. Bayangkan kongress PKR diadakan di Tokong Cina. Rasa kekok orang Melayu di dalam dewan tokong Cina tidak wujud lagi. Ini satu pembudayan yang amat radikal. Kalau dahulu di dewan perhimpunan Cina - kali ini di Tokong Cina. Kini PKR telah bergerak jauh dari hegemoni budaya gerombolan.

Ketika kongres di tokong ini berjalan saya perhatikan lelaki berperut gendut dan berbaju batik berlengan panjang tidak seramai di Hotel Renaisance dahulu. Ramai yang datang berpakaian agak lekeh dan sempoi. Untuk saya ini satu petanda yang amat membanggakan. Selipar dan baju-T pagoda sekali lagi menjadi trend di Ipoh.

Saya perhatikan yang datang ke tokong itu terdiri dari mak cik dan pak cik yang datang dengan bas dari Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Memang dari wilayah yang jauh mereka datang. Mungkin kerana berita telah tersebar Anwar Ibarahim yang telah bebas akan datang ke kongres di Ipoh.

Saya tidak muncul di kongres Pulau Pinang dan di Seremban. Saya terlupa sebab apa saya tidak datang. Jadi saya tidak ada catitan jenis pakaian apa yang terdapat di kongres tersebut. Apa yang saya amat yakin ialah lelaki berperut gendut dan berbaju batik mula berkumpul kembali. Mereka datang kerana Anwar Ibrahim telah di bebaskan. Mereka menunjukkan muka sekali lagi. Ini juga sebagai pelabur saham. Budaya germbolan datang sekali lagi dalam PKR.

Minggu lepas saya ke Kota Bahru. Saya datang menebeng dan tumpang melihat kongress ke-6PKR. Kali ini semuanya telah berubah. Kongres kali ini diadalah sesudah 8 Mac 2008 - ertinya satelah mendapat kemenangan dan wujudnya Pakatan Rakyat.

Hilang indentiti

Kongres Angkatan Muda Keadilan diadakan di satu tempat peranginan di Pantai Cahaya Bulan. Saya sampai awal pagi. Ketika saya sampai, apa yang saya dengar hanya desiran ombak. Esoknya saya lihat tempat bersidang yang agak lumayan berbanding dengan tokong di Ipoh dahulu. Lebih tersusun dan teratur. Para perwakilan ada bilik dan tempat penginapan. Ini lumayan.

Untuk saya gerakan anak muda ini paling penting. Anak muda adalah nadi sesebuah organisasi politik. Tanpa tenaga muda tidak mungkin ada parti politik yang boleh berkembang. Bila saya menjenguk muka ke dalam dewan persidangan AMK - saya senang hati kerana hampir 400 orang anak-anak PKR muda sedang berdebat dan berbincang.

Kemudian saya terlihat ramai perwakilan di dalam dewan yang memakai baju biru. Mungkin ini baju rasmi AMK. Ini satu kesilapan besar. Anak muda yang berseragam sampai dunia kiamat pun tidak akan dilihat cool. Anak muda cool pemecah ruyung tidak akan mengikut arahan bagaimana harus berbaju atau berseluar. Yang suka berseragam adalah mereka yang suka ditarik hidung. Pakaian seragam diwujudkan agar individu hilang identiti diri. Saya hanya tersenyum - bermula dengan berbaju biru dan mungkin akan berakhir dengan berperut gendut dan berbaju batik berlengan panjang.

Esoknya saya masuk ke Dewan Kelantan Trade Center. Saya pun tidak faham kenapa bangunan ini dipanggil Kelantan Trade Center. Apakah dengan pengunaan bahasa Inggeris ini akan membuktikan bahawa kerajaan Kelatan ini hebat dan berwibawa. Jika ini hujah nya maka ini samalah seperti drama swasta yang menggunakan "I" dan "You" untuk membuktikan bahawa para pelakon drama ini berilmu.

Dalam dewan saya perhatikan bahawa tradisi lelaki berperut gendut dan memakai baju batik berlengan panjang semakin berkurang. Lelaki berperut gendut dan memakai baju batik berlengan panjang ini ramai telah keluar dari PKR. Tetapi jangan silap baca masih ramai lagi lelaki jenis ini menjalar dalam PKR. Tetapi buat sementara waktu mereka tidak memakai baju batik dan telah cuba mengempiskan perut.

Kenapa saya memperlekehkan lelaki berperut gendut dan berbaju batik lengan panjang? Jawabnya cukup senang. Perhatikan muka yang telah lari meninggalan PKR. Perhatikan perut mereka. Semuanya gendut dan boroi. Mereka juga sering dilihat memakai baju batik berlengan panjang.

Untuk saya baju batik berlengan panjang muncul dari hegemoni budaya gerombolan United Malays National Organisation. Saya anggap perkara yang paling bodoh yang kita lakukan ialah meniru apa yang dilakukan oleh musuh kita. Menerima apa yang dibudayakan oleh musuh membuktikan kita tidak memiliki fikrah untuk melakonkan yang baru.

Kita bukan sahaja wajib menolak parti gerombolan. Kita juga wajib menolak budaya yang disebarkan oleh gerombolan. Berperut gendut dan berbaju batik lengan panjang adalah budaya gerombolan. Ini wajib dilupuskan. PKR wajib melahirkan seni dan budaya sendiri. Jangan jadi malas hanya dan menerima baju batik berlengan panjang sebagai budaya. Kerana malas, maka perut jadi gendut.


Dr Asri pula pelik dengan ulama umno:


Saya bukan orang politik. Bukan aktivis mana-mana parti. Saya seorang rakyat yang memerhati perkembangan pemikiran Islam dalam negara ini.
Artikel ini akan menyebut istilah ulama Umno atau ulama pro-Umno. Walaupun istilah ini umum, namun saya mengecualikan mereka yang ikhlas dan tidak bersikap seperti yang disebutkan nanti.
Saya tidak faham mengapakah Umno kebelakangan ini suka berkeras mengambil pandangan-pandangan agama yang bersifat perkauman dan amat konservatif.

Dulu mereka lebelkan PAS demikian. Namun hari ini apabila PAS mula membuka ufuknya, melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas, Umno pula yang cuba kembali ke zaman ortodoks tersebut.
Ya, memang masih ada dalam PAS sendiri kelompok yang 'ala ulama Umno' hari ini, yang juga mengurung diri dengan pandangan-pandangan yang agak konservatif dan menolak keluasan ijtihad.
Namun suara pembaharuan dan keterbukaan jelas kedengaran dalam PAS. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak lagi bersendirian dengan pandangan-pandangan pembaharuannya.
Pelik, sebagai pemerintah mengapa Umno menerima pandangan-pandangan yang sempit itu. Padahal pandangan-pandangan itu hanyalah tafsiran 'kurang luas' golongan konservatif agama, atau satu ijtihad yang boleh untuk dilihat atau dibandingkan dengan ijtihad yang lain.
Apakah kerana Umno merasakan bahawa mereka hanya mampu bernafas dalam iklim yang kurang 'oksigen keluasan ijtihad' atau hanya gas perkauman dan fahaman 'sempit' agama sahaja yang mampu menghidupkan Umno.
Keserasian wajah 1Malaysia

Atau, apakah ulama-ulama pro-Umno hanya mampu bernafas selagi parti itu dikurangkan oksigen keluasan berfikir? Atau, apakah Umno melihat rupa paras Islam dalamnya hanya mampu dilihat jika ia bersifat keras dan sokongan Melayu pun akan datang kepadanya dengan membakar isu-isu tersebut?

Di 
manakah keserasian wajah 1 Malaysia Perdana Menteri dengan pendekatan Islam Umno hari ini?

Sebagai pemerintah bagi sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, oksigen keluasan ijtihad diperlukan oleh Umno. Mengapakah Umno menerima pendapat-pendapat yang menajamkan salah faham terhadap Islam di negara ini.
Dulu Umno menolak pihak yang membangkitkan tuduhan 300 ribu orang Melayu murtad serta menuduh individu dan institusi itu dan ini sebagai pusat Kristian.
Hari ini pendapat pihak seperti tersebut diterima pakai. Bahkan beliau dijadikan perlambangan ulama pro-Umno. Atau memang Umno kini berminat dengan perdekatan yang sifatkan media antarabangsa sebagai 'ala-ala Taliban'?
Segala tudingan Umno dahulu kepada PAS sebagai pembawa Islam sempit dan jumud, hari ini PAS hampir dapat membebaskan diri dan imejnya seumpama itu sedangkan sebaliknya Umno pula yang memakai seragam kejumudan dan kesempitan tersebut.
Peguam bukan Islam
Lihat, isu peguam bukan Islam di Mahkamah Syariah. Media-media Umno membesar-besarkan isu ini seakan ia akan memusnah orang Islam.
Diambil pendapat pihak yang menyatakan bahawa itu akan mengelirukan umat Islam dan mengancam Islam. Saya ditanya oleh Utusan Malaysia, namun apabila saya beri pendapat yang berbeza, ia tidak disiarkan.

Isu itu boleh memberikan gambaran salah kepada bukan Islam, dan juga generasi baru Muslim mengenai Islam.
Bagaimanakah mungkin, universiti rasmi kerajaan UIAM memberikan sijil yang sah dalam bidang tersebut kepada peguam berkenaan, tetapi kerajaan yang sama menyatakan ia tidak boleh digunapakai?
Apakah ini secocok dengan keadilan Islam?
Kedua, bayangkan dalam sebuah negara Islam sepenuhnya yang hanya bertunjangkan Mahkamah Ssyariah, tiba-tiba kita beritahu bukan Islam tidak boleh menjadi peguam!
Apakah dalam negara yang berbilang agama ini, mereka akan pandang tinggi tentang konsep keadilan di mahkamah yang bersifat Islam seperti itu?
Peguam ialah pembela. Sesiapa sahaja boleh membela tertuduh di mahkamah Islam. Yahudi pernah menang kes menentang Saidina 'Ali dalam pertikaian baju besi.
Pada zaman Nabi SAW dan al-Khulafa al-Rasyidin, tiada sistem guaman secara rasmi. Seseorang boleh menuntut keadilan dengan hujah-hujahnya di hadapan hakim. Untuk membela atau berhujah, sesiapa pun boleh berhujah.
Penentunya, sistem kehakiman itu sendiri, bukan peguam. Di zaman kini lebih jelas. Undang-undang telah dienakmenkan. Ia bertulis dan setiap pihak terikat dengan undang-undang bertulis itu.
Sesiapa sahaja yang berhujah, sama ada Islam atau bukan Islam, mereka terikat dengan hal tersebut. Hakim akan menentukannya secara adil. Keadilan sebenar dapat diperolehi jika hakim adil.
Setiap pihak berhak membela diri, dan berhak meminta sesiapa sahaja yang mampu membelanya. Keadilan itu buta warna kulit dan jenis agama.
Islam yang seperti itulah patut digambarkan jika kita ingin menuju kepada Islamisasi negara yang sebenar. Jika ada beberapa peruntukan undang-undang yang kurang sesuai dalam masyarakat yang rencam ini maka ia perlu diubah.
Cara Umno mengendalikan isu tersebut, mengelirukan bukan Islam!
Jika tidak mahu benarkan, mengapa dia diizinkan melalui pengajian dan menghabiskan masa untuk itu, kemudian dimaklumkan 'sijil awak tidak laku'.
Ulama pro-Umno bising. Menariknya, apabila ada orang yang ditahan tanpa diberikan hak perbicaraan, mereka diam! Tidakkah ini mengelirukan Islam dan bukan Islam?
Jika ini tidak diubah, Islam di negara ini terus menjadi defensive, takut pada bayang-bayang sendiri dan gagal memahamkan bukan Islam tentang keindahan Islam.
Lebih 50 tahun Umno memerintah, generasi baru bukan Islam bertambah prejudis dengan Islam yang dibawa oleh Umno. Golongan muda Islam juga demikian.
Agama dijadikan senjata permusuhan, bukan lagi rahmat yang menimbulkan kedamaian dan keyakinan rakyat kepada keindahan Islam.
Jika tanpa pendakwah-pendakwah dan tokoh-tokoh yang ikhlas menjelaskan tentang hakikat Islam sebenar, tentu bukan Islam bertambah prejudis kepada Islam.
Generasi Islam yang terpelajar juga akan mula mempersoalkan Islam seperti ini.

Isu kalimah Allah
Isu kalimah Allah juga demikian. Ulama pro-Umno, termasuk 'ala Umno' yang berada dalam PAS membakar rakyat awam dengan isu ini.
Sehingga ada ulama pro-Umno yang cuba mengkafirkan orang lain dalam isu nama Allah tersebut. Tidak cukup dengan 300 ribu yang dimurtadkan dulu, ditambah pula ahli politik yang cuba dijadikan murtad baru.

Semuanya kerana tafsiran yang sempit. Padahal, isu itu boleh diselesaikan dengan adil dan saksama. Diraikan hak agama lain dan dibuat beberapa peraturan untuk ketenteraman awam. Saya sendiri telah menggaris panduan dalam media. Bukan Islam ramai yang setuju.
Namun, ada yang cuba bermain sentimen rakyat yang kurang faham.
Media Umno pula hanya menerang pendapat sebelah pihak. Namun sekarang apabila melihat kekalahan di Sibu yang membabitkan penduduk Kristian, Umno mula gelisah. Apakah Umno akan meminta fatwa baru dari 'mufti' yang setia berkhidmat itu?

Isu masuk masjid
Isu bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid juga dipopularkan oleh media Umno. Padahal larangan bukan Islam masuk masjid hanya salah satu pendapat dalam kalangan ulama.
Ulama hadis ramai berpendapat sebaliknya. Ini disebabkan hadis-hadis menunjukkan bukan Islam pada zaman Nabi SAW masuk ke dalam masjid dan mempelajari Islam.

Jsuteru, di zaman kini yang banyak salahfaham terhadap Islam, mereka lebih patut dibenarkan masuk.
Cumanya, letakkan beberapa peraturan atas asas siyasah syar'iyyah(islamic administration). Namun, jika apabila dikemukakan pendapat bahawa bukan Islam boleh masuk ke masjid, bangkitlah ulama-ulama pro-Umno dengan fatwa-fatwa ketat dan seakan hendak berjihad mempertahankannya.
Malang sekali, apabila timbul isu judi bolasepak, tidak pula mereka berani lantang dan tegas. Tidakkah ini mengelirukan? Apa tidaknya, apabila bukan Islam hendak masuk masjid dihalang, tapi apabila diberikan keizinan berjudi didiamkan!
Isu Sebat
Isu sebat tiba-tiba muncul. Dulu Umno sensitif dengan hudud. Dalam persekitaran yang ada, saya juga fikir PAS tidak perlu menegaskan isu hudud. PAS sejak dulu patut angkat isu keadilan seperti mereka lakukan sekarang.
Keadilan itulah objektif. Hudud adalah mekanisma yang boleh diselaraskan apabila keadaan wajar.

Hukum yang baik untuk tempat yang sesuai. Sama seperti wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jika wanita yang baik dikahwinkan dengan lelaki yang jahat, kepincangan akan berlaku.
Demikianlah hudud. Saya telah beri pandangan dalam masalah ini.
Tapi kini, tidak semena-mena tanpa mukadimah yang jelas agar rakyat faham, Umno mencanangkan isu sebat Kartika dan tiga wanita di Wilayah Persekutuan.
Menurut laporan media, mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kata sesiapa hina hukum sebat murtad kerana ia hukum Allah. Namun, apabila Sultan Pahang batalkan hukuman, beliau berkata itu hak Sultan.
Saya telah beri pandangan dalam kes ini, boleh rujuk laman web saya. Keajaiban ulama dalam media Umno!
Perarakan Maulid
Apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat kata perarakan maulid bukan galakan agama, media Umno dan ulama pro-Umno membuat ulasan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diserang. Walaupun saya ketika itu menulis dalam Mingguan Malaysia, saya memberikan pandangan yang berbeza.

Artikel saya 'Melayu dan Mamak Penang' boleh dirujuk. Media Umno jadikan seakan isu itu benteng Melayu-Islam di Malaysia.
Di Kelantan, lebai entah dari mana datangnya, pun menulis diMingguan Malaysia kononnya Nik Aziz - Wahabi disebabkan isu-isu seperti ini.
Bisinglah mereka. Malangnya, media dan ulama pro-Umno tidak pula bising keruntuhan moral muda-muda Melayu-Islam saban tahun disebabkan perhimpunan pesta sambutan tahun baru yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin politik!
Inilah ulama yang pro-Umno sekarang. Apakah mereka ini dapat menarik perhatian generasi baharu Islam dan bukan Islam kepada Islam?
Barah
Banyak lagi isu lain jika hendak disebutkan yang membabitkan ulama dalam Umno.
Saya bukan anti-Umno tetapi inilah realitinya. Saya ramai sahabat dalam Umno. Kepimpinan Umno bermula dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga ke lapisan bawah, ramai yang baik dengan saya. Tapi ini realiti. Kritikan saya untuk semua. Kali ini khas untuk Umno.
1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib akan tenggelam dibakar oleh pemikiran sempit dan berkepentingan oleh sesetengah ulama Umno ini.
Malang sekali, di kala rakyat Malaysia mula bersikap terbuka, memahami Islam dari kerangkanya yang luas, menelaah ijtihad yang berbagai dan bersedia untuk berhujah secara matang, Umno memilih fatwa atau pandangan yang kian sempit dan berkepentingan.

Dunia sudah terbuka disebabkan media baru, Umno cuba kembali ke zaman selepas kemerdekaan.
PAS yang dahulunya dilihat kolot, mula dipenuhi dengan tokoh-tokoh politik Islam yang kian matang dan mampu mengadaptasi Islam dalam lakarannya yang luas. Pada masa yang sama Umno sedang kerumuni oleh sesetengah mereka yang 'narrow-minded' dan melihat Islam dalam kerangka perkauman.
Bolehkah 1 Malaysia tajaan Perdana Menteri berjaya jika ini terus berlaku. Generasi muda Islam dan bukan Islam telah jauh ke hadapan meninggalkan kesempitan ini. Islam dalam kerangkanya yang lebih universal akan mengambil tempat.
Ulama Umno sebenarnya sedang membakar kapal sendiri dan menenggelamkannya. Perdana Menteri, patut menilai semula agenda 1 Malaysia

DR ASRI adalah pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia sebelum dilantik menjadi mufti Perlis bermula 1 Nov 2006 – 30 Nov 2008. Beliau mendapat ijazah Ph.D dalam Islamic Revealed Knowledge And Haritage (Al-Quran And Sunnah Studies), UIA (2003) dan lulusan Ijazah Hadith dengan mendapat 5 ijazah sanad menerusi jalur ulama India (2001). 


(sumberMK)