Khamis, 12 Mei 2011
eskay sengaja cari pasal
Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim percaya tindakan Datuk Shazryl Eskay Abdullah memakai jaket kalis peluru ketika mengangkat sumpah laknat di sebuah masjid baru-baru ini, bertujuan menimbulkan kekecohan.
Dalam surat terbarunya, Mat Zain berkata perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan kesucian masjid dan agama Islam malah merupakan satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 295 Kanun Keseksaan.
“Sebaliknya apabila ke masjid, bukan sahaja beliau memerlukan jaket kalis peluru, malahan beberapa orang pengawal peribadi yang mungkin bersenjata mengawalnya.
“Dalam kata yang lebih mudah, pada pendapat saya, Eskay ingin memberi tahu umum bahawa kepada beliau, berada ditempat pelacuran, lebih selamat daripada berada dalam Masjid.
“Pada pendapat saya seterusnya, pemakaian jeket kalis perluru di dalam masjid itu adalah sesuatu yang telah dirancang. Suasana tegang yang timbul di perkarangan Masjid pada hari tersebut adalah sesuatu yang telah diduga, malah yang diharapkan oleh Eskay, Rahim dan Shuib,” katanya yang baru-baru ini menulis surat terbuka kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar supaya tidak mengikut telunjuk Peguam Negara dalam kes itu.
Menurut Mat Zain, keadaan itu ditambah dengan tindakan Eskay mengumumkan secara meluas acara sumpah laknat tersebut beberapa hari sebelum upacara itu diadakan di Masjid Amru Al-As itu, Sentul.
“Malah Eskay mencabar secara terbuka sesuatu pihak untuk turut sama dalam majlis tersebut.
“Tidak keterlaluan untuk saya berpendapat,bahawa Eskay,Rahim dan Shuib memang mengharapkan mereka atau salah seorang daripada mereka dicederakan walaupun sedikit, supaya keadaan yang lebih kecoh boleh diujudkan di dalam Masjid itu yang mungkin boleh menjejaskan ketenteraman awam , malah mungkin merebak ke masjid-masjid lain,” ujarnya lagi.
Shazryl, bekas ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim adalah tiga individu yang menayangkan rakaman video fitnah mengaitkan ia dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu.
Ia mengundang kecaman banyak pihak, berikutan video itu disebar secara meluas di internet dan dikesan sebagai percubaan jahat untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana paparan imej lelaki dalam video berkenaan ternyata bukan Anwar, berdasarkan kepada bentuk badan beliau, potongan rambut dan lenggok beliau.
Pada 29 April lalu, Syazryl, disaksikan Rahim dan Shuib mengangkat sumpah laknat bertempat di-Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur bagi membenarkan dakwaan itu.
Tindakan itu dikecam banyak pihak terutama golongan agamawan kerana sumpah seumpama itu, tidak dianjurkan Islam.
Di dalam Islam, Islam hanya menganjur kan sumpah Li’an, dalam perkara membabitkan hubungan suami dan isteri, manakala sumpah mubahalah pula hanya membabitkan persoalan akidah.
Tindakan Trio Datuk T itu mengundang kekecohan di dalam masjid berkenaan apabila beberapa pihak menghalang mereka dari melakukan perbuatan yang menghina kesucian Islam dan masjid itu.
Subsidi untuk rakyat dihapus untuk IPP dikekal
Harga gula: BN selamatkan 163 kali subsidi IPP untuk kroni
Kerajaan boleh menyelamatkan RM19 bilion setahun melalui pemberhentian subsidi kepada Syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP), berbanding RM116 juta pemotongan subsidi gula yang menyusahkan rakyat.
Penjimatan itu berkadaran 163 kali ganda sekiranya kerajaan menamatkan subsidi gas kepada syarikat kroni IPP seperti Malakoff, Genting Sanyen dan YTL.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pada tahun kewangan 2009 sahaja, subsidi gas Petronas mencecah RM19 bilion, manakala pada setengah tahun pertama 2010, subsidi untuk bahan bakar itu mencecah RM10.2 bilion.
“Subsidi terkumpul yang ditanggung oleh Petronas hingga November 2010 sejak harga gas ditetapkan di bawah Sektor Tenaga 1997 dan Sektor Bukan Tenaga 2002 adalah sebanyak RM126.6 bilion.
“BN mendakwa bahawa walaupun berlaku kenaikan harga gula, kerajaan akan terus menyimpan RM111.6 juta bagi tujuan projek- projek pembangunan dan masih perlu membayar RM238.4 juta subsidi gula tahunan. DAP menolak hujah seperti itu yang tidak terbukti memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Menurut Lim, RM116.6 juta yang disimpan tidak akan membawa manfaat kepada masyarakat selagi amalan rasuah dan projek runding terus dilaksana secara berleluasa.
“Akibatnya, gejala rasuah bermaharajalela dengan tiadanya tender terbuka untuk cadangan pembinaan MRT (Projek Aliran Transit Mass) yang berjumlah RM53 bilion dan keengganan untuk menyiasat kehilangan RM52 bilion saham bumiputera,” katanya.
Lim berkata, pada masa yang sama kerajaan melalui akhbar milik Umno, Utusan Malaysia cuba mengalih perhatian rakyat dengan sengaja mewujudkan isu konspirasi kononnya DAP dan para paderi Kristian ingin menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri yang beragama Kristian.
“Penipuan seperti itu dicetak di muka hadapan Utusan Malaysia sedangkan tiada rakyat Malaysia beragama Kristian yang berusaha untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
“Penipuan Utusan ternyata adalah cubaan terdesak UMNO untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan pengurusan ekonomi serta kegagalan dasar- dasar lain sehingga menyebabkan kenaikan harga petrol dan gula,” ujarnya.
Lupus subsidi gula RM116 juta, tapi Permata dapat RM111 juta
Pas mempersoalkan kewajaran kerajaan Umno pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang melupuskan subsidi harga gula RM116 juta, sedangkan dalam masa yang sama memberikan peruntukan sebanyak RM111 juta kepada Permata yang dinaungi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur.“Apa lebih Permata, hanya setaraf dengan pasukan kompang sahaja, tetapi memperolehi peruntukan begitu banyak hampir dengan pelupusan subsidi gula RM116.6 juta.“Sedangkan peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat hanya RM95 juta sahaja,” kata Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad.Menurut Idris, tindakan kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa semalam, sebagai lambang kegagalan Barisan Nasional (BN).“Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen),” kata Idris dalam satu kenyataan hari ini.Tambah beliau, keputusan kerajaan menaikkan harga gula kononnya untuk menjimatkan wang negara sebanyak RM116.6 juta setahun, dengan membandingkan harga gula di Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina merupakan alasan dangkal.“Apakah kerajaan BN tidak ada jalan lain untuk menguruskan kewangan negara.“Nampaknya pemimpin negara jika tidak ada wang, jalan keluarnya dengan menyusahkan rakyat seperti saman ekor, menaikan minyak petrol, naik harga gula, naik harga tol,” tegas Idris.
Bebaskan pasaran gula dari monopoli kroni- SAMM
Solidariti Anak Muda malaysia (SAMM) mendesak supaya industri gula di negara ini dibuka dari monopoli kelompok tertentu yang hanya menguntungkan kroni dan syarikat korporat besar.
Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa semalam, menghimpit peniaga kecil dan seterusnya membebankan golongan pengguna.
“Bagi kenaikan kali ini, regim (pemerintah) hanya boleh menjimatkan RM 116.6 juta sahaja. Apalah nilai ini jika dibandingkan dengan kes-kes ketirisan, rasuah dan wang negara hilang yang dilaporkan.
“Sebenarnya sedikit sahaja wang boleh diselamatkan tidak berbaloi dengan nilai pertambahan kesukaran hidup rakyat. Persoalan lain ke mana wang penjimatan subsidi ini disalurkan,” ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan Chegu Bard.
Menurut Badrul, subsidi merupakan hak rakyat di negara ini seperti mana subsidi minyak seharusnya diberikan kepada rakyat, hasil keuntungan petroleum yang merupakan anugerah dari hasil bumi.
Namun katanya, kenaikan terbaru harga gula itu jelas menunjukkan rejim pimpinan Umno-BN tidak lagi mampu menampung RM116.6 juta sebagai tanggungjawab untuk memberikan subsidi kepada rakyat.
Tegasnya, langkah kenaikan sedikit demi sedikit itu akan dilakukan sehingga rakyat lali dan terbiasa dengan kenaikan tersebut.
“Ini diakui oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Mohd Zain Mohd Dom, yang mengatakan dalam kenyataan pengumuman kenaikan harga gula dengan mengatakan langkah ini adalah selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat.
“Seperti biasa teknik yang sama ‘membodohkan rakyat’ ialah dengan membandingkan dengan negara jiran. Walaupun perubahan harga runcit dibuat, ia adalah lebih rendah berbanding negara serantau, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina,” ujarnya.
Semalam, kerajaan digesa mengumumkan jumlah transaksi pembelian Malayan Sugar Manufacturing Co Sdn Bhd (MSM) yang sebelum ini dimiliki oleh Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok.
Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, pembelian itu dilakukan menerusi anak syarikat Felda, iaitu Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH).
Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, selari kenaikan harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG).
Kenaikan yang dikenali sebagai “4-dalam-1″ itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, termasuk mewujudkan beberapa siri bantahan, terutamanya sekitar Kuala Lumpur.
Sebelum itu, berlaku juga kenaikan “5-dalam-1 yang turut membabitkan harga gula, dua gred pretrol, diesel dan gas, pada 15 Julai tahun lalu.
Langgan:
Catatan (Atom)