Buat apa kita membandingkan negara kita dengan dunia ketiga yang lain? Jika kita kahu bandingkan pun, dari segi sistem pengundian, negara kita masih jauh mundur ke belakang. India dan Indonesia menggunakan dakwat kekal, tetapi tidak ada kecelakaan yang menimpa pengundi mereka. Sebaliknya yang berlaku ialah sistem pilihan raya mereka dilihat demokratik, adil dan memenuhi aspirasi rakyat. Itu yang kita mahu—satu pilihan raya yang telus dan ada integriti supaya tidak timbul kontroversi seperti sekarang ini.
Jika kita mahu bandingkan sistem pilihan raya kita dengan di negara maju, kedudukannya adalah jauh panggang dari api. Di negara maju, sistem pilihan rayanya adil dan bebas, medianya bebas dan pengurusan pilihan rayanya baik. Di negara maju, mereka tidak lagi menggunakan dakwat kekal, tetapi menggunakan sistem biometrik. Apakah kita mampu menjadi seperti mereka atau telahpun mencapai tahap seperti mereka?
Baiklah, jika kita tidak mahu gunakan dakwat kekal, saya mahu cadangkan dalam pilihan raya yang akan datang, kita gunakan mesin mengesan cap jari. Penggunaan mesin ini baik kerana selain dapat mengesahkan identiti pengundi, mesin ini juga secara automatiknya dapat menolak mereka yang cuba untuk mengundi dua kali. Mengapa timbulnya persepsi adanya pengundian dua kali ini? Ini kerana keraguan kepada senarai pengundi SPR? Bilakah SPR dapat menyelesaikan persepsi rakyat yang negatif ini?
YB pemimpin, tolong selesaikan isu dakwat kekal ini dengan baik. Tolong jangan berikan jawapan yang berterusan mendungukan rakyat. Setakat ini, saya lihat jawapan pemimpin adalah sama seperti pengail yang mengail, tetapi memilih menggunakan umpan yang tidak dimakan ikan.