Rais Yatim-cadang tubuh sekolah budi bahasa -malaysiakini
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) disyor mewujudkan sekolah budi bahasa bagi menyediakan bimbingan nilai murni dan pembentukan sahsiah budaya tinggi dalam masyarakat.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, langkah itu juga adalah sejajar dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu nilai murni seperti amalan kesukarelaan menjadi budaya meluas di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.
"Berapa ramai orang Melayu contohnya yang boleh berhadapan dengan orang ramai, tunduk dan meminta laluan tanpa berkata sepatah pun?, Diberi komputer, si anak naik ke pentas ambil komputer, sebat dari tangan pemimpin, lari ke bawah, tidak ada terima kasih.
"Ini salah siapa? Kita boleh kata macam-macam, di rumah pun salah di sekolah pun salah. Memandangkan hal inilah, saya ingin sangat supaya di ASWARA dan di pusat JKKN seluruh negara, mari kita ajarkan balik anak-anak kita supaya berbudi dan mempunyai sifat-sifat lembut peribadi dan pekerti tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kompleks JKKN Negeri Sembilan, di Seremban hari ini.
Bekas menantu Rais didenda kahwin tanpa kebenaran pendaftar
Bekas menantu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Raja Badrul Hisham Raja Zezeman Shah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini, minggu lepas atas kesalahan bernikah tanpa kebenaran pendaftar, tujuh tahun lalu.
Hakim Asrul Azlan Embong menjatuhkan denda RM600 selepas pakar bedah itu mengaku bersalah ketika kesnya disebut pada 30 Januari lalu.
Mahkamah turut memutuskan hukuman penjara enam hari jika gagal membayar denda. Bagaimanapun denda tersebut telah dibayar.
Pertuduhan ke atas mereka dijadual berlangsung hari ini.
Bagaimanapun telah berlangsung minggu lepas selepas mendapat kebenaran mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa bernikah dengan Faizah Sidi tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Villa Laman Tasik, Bandar Seri Permaisuri Cheras, 7 April 2006.
Sementara itu, Faizah didenda RM500 dan hukuman penjara lima hari jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Kedua-dua mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 40(2) dan Seksyen 17 Akta Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Sementara itu, tidak berpuas hati dengan hukuman yang diputuskan mahkamah, Ketua Pendakwa Kanan Syarie, Salehan Md Yatim, semalam, memfailkan notis rayuan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan.