JAWI sepatutnya memelihara institusi agama Islam Malaysia bukannya diperalatkan rejim Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menyebarkan fitnah tanpa merujuk pandangan ulama-ulama seluruh negara.
Masjid- masjid di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam dibekalkan teks khutbah Jumaat yang dipercayai mempunyai unsur menuduh penganjur Bersih sebagai “pengkhianat”.
Selain itu, teks yang dibacakan oleh imam-imam itu turut membayangkan peserta himpunan itu “akan bertindak ganas, merosakkan harta benda... malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan".
Di tengah kita menyambut Israk dan Mikraj yang mengandungi amat banyak pengajaran besar, Jawi hari ini telah melakukan kesilapan besar dengan mengeluarkan khutbah tersebut yang jelas melampau dan bertentangan dengan ajaran Islam.Tiba-tiba mimbar Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan dicemari dengan propaganda Barisan Nasional (BN).
Ini khutbah yang dipolitikkan. Jawi sepatutnya tidak buat begitu. Mereka perlu tahu apa tujuan (Bersih) dahulu dan merujuk kepada ahli ulamak. Ini dia buat sesuka hati sahaja. Pada hal di dalam negara kita ini amat banyak perkara yang perlu diketengahkan oleh Jawi termasuklah usaha-usaha untuk mengatasi gejala sosial dan penghinaan terhadap syariat Islam.
Isu gejala murtad dan maksiat masih berleluasa. Isu seperti inilah yang sepatutnya dibincangkan dalam pengisian khutbah. Peristiwa Israk dan Mikraj pun masih ramai anak muda serta masyarakat belum hayati.
Dalam keadaan mereka beria-ia menolak politik kepartian di dalam masjid, tetapi Jawi hari ini telah terjebak sebagai alat politik Barisan Nasional (BN).
Tidak wajar isu Himpunan Bersih 2.0 diseret ke dalam khutbah kerana ia sebenarnya usaha masyarakat sivil untuk membersihkan sistem pilihan raya daripada penipuan dan selaras dengan tuntutan perlembagaan.