Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
LAHAD DATU - Tujuh warga selatan Filipina hari ini didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan  pengganas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tujuh lelaki berumur lingkungan 20-an hingga 63 tahun itu ketika pertuduhan dibacakan di  hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.

Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.
Lima tertuduh didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121  Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menjadi ahli kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 121, 130KA dan Seksyen 130E iaitu merekrut orang  sebagai ahli kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda dan Seksyen 130K iaitu melindungi orang yang melakukan perbuatan pengganas yang membawa  hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh pula menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 130KA.

Pendakwaan diketuai Ketua Unit Pendakwaan Sabah Jamil Aripin dan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu Shukor Abu Bakar.      mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Acara Jenayah bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau.
Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.
Sementara itu seorang anggota polis berpangkat Koperal juga didakwa di  tempat sama Jumaat lepas mengikut Seksyen 130M iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai tindakan pengganas, yang membawa hukuman penjara  maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ini menjadikan sehingga hari ini 16 orang didakwa di mahkamah. Pada 20 Mac lepas, lapan warga Filipina didakwa di tempat  sama mengikut Seksyen 121 dan Seksyen 130KA dan sehari selepas itu kes berkenaan disebut di Mahkamah Tinggi Tawau.

Kes itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi 12 April ini bagi mengetahui perkembangan perbincangan Peguam Negara  dengan Persatuan Undang-Undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan Filipina berhubung khidmat guaman yang akan diberikan kepada tertuduh. - Bernama