Khamis, 12 Mei 2011
Subsidi untuk rakyat dihapus untuk IPP dikekal
Kerajaan boleh menyelamatkan RM19 bilion setahun melalui pemberhentian subsidi kepada Syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP), berbanding RM116 juta pemotongan subsidi gula yang menyusahkan rakyat.
Penjimatan itu berkadaran 163 kali ganda sekiranya kerajaan menamatkan subsidi gas kepada syarikat kroni IPP seperti Malakoff, Genting Sanyen dan YTL.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pada tahun kewangan 2009 sahaja, subsidi gas Petronas mencecah RM19 bilion, manakala pada setengah tahun pertama 2010, subsidi untuk bahan bakar itu mencecah RM10.2 bilion.
“Subsidi terkumpul yang ditanggung oleh Petronas hingga November 2010 sejak harga gas ditetapkan di bawah Sektor Tenaga 1997 dan Sektor Bukan Tenaga 2002 adalah sebanyak RM126.6 bilion.
“BN mendakwa bahawa walaupun berlaku kenaikan harga gula, kerajaan akan terus menyimpan RM111.6 juta bagi tujuan projek- projek pembangunan dan masih perlu membayar RM238.4 juta subsidi gula tahunan. DAP menolak hujah seperti itu yang tidak terbukti memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Menurut Lim, RM116.6 juta yang disimpan tidak akan membawa manfaat kepada masyarakat selagi amalan rasuah dan projek runding terus dilaksana secara berleluasa.
“Akibatnya, gejala rasuah bermaharajalela dengan tiadanya tender terbuka untuk cadangan pembinaan MRT (Projek Aliran Transit Mass) yang berjumlah RM53 bilion dan keengganan untuk menyiasat kehilangan RM52 bilion saham bumiputera,” katanya.
Lim berkata, pada masa yang sama kerajaan melalui akhbar milik Umno, Utusan Malaysia cuba mengalih perhatian rakyat dengan sengaja mewujudkan isu konspirasi kononnya DAP dan para paderi Kristian ingin menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri yang beragama Kristian.
“Penipuan seperti itu dicetak di muka hadapan Utusan Malaysia sedangkan tiada rakyat Malaysia beragama Kristian yang berusaha untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
“Penipuan Utusan ternyata adalah cubaan terdesak UMNO untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan pengurusan ekonomi serta kegagalan dasar- dasar lain sehingga menyebabkan kenaikan harga petrol dan gula,” ujarnya.
Solidariti Anak Muda malaysia (SAMM) mendesak supaya industri gula di negara ini dibuka dari monopoli kelompok tertentu yang hanya menguntungkan kroni dan syarikat korporat besar.
Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa semalam, menghimpit peniaga kecil dan seterusnya membebankan golongan pengguna.
“Bagi kenaikan kali ini, regim (pemerintah) hanya boleh menjimatkan RM 116.6 juta sahaja. Apalah nilai ini jika dibandingkan dengan kes-kes ketirisan, rasuah dan wang negara hilang yang dilaporkan.
“Sebenarnya sedikit sahaja wang boleh diselamatkan tidak berbaloi dengan nilai pertambahan kesukaran hidup rakyat. Persoalan lain ke mana wang penjimatan subsidi ini disalurkan,” ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan Chegu Bard.
Menurut Badrul, subsidi merupakan hak rakyat di negara ini seperti mana subsidi minyak seharusnya diberikan kepada rakyat, hasil keuntungan petroleum yang merupakan anugerah dari hasil bumi.
Namun katanya, kenaikan terbaru harga gula itu jelas menunjukkan rejim pimpinan Umno-BN tidak lagi mampu menampung RM116.6 juta sebagai tanggungjawab untuk memberikan subsidi kepada rakyat.
Tegasnya, langkah kenaikan sedikit demi sedikit itu akan dilakukan sehingga rakyat lali dan terbiasa dengan kenaikan tersebut.
“Ini diakui oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Mohd Zain Mohd Dom, yang mengatakan dalam kenyataan pengumuman kenaikan harga gula dengan mengatakan langkah ini adalah selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat.
“Seperti biasa teknik yang sama ‘membodohkan rakyat’ ialah dengan membandingkan dengan negara jiran. Walaupun perubahan harga runcit dibuat, ia adalah lebih rendah berbanding negara serantau, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina,” ujarnya.
Semalam, kerajaan digesa mengumumkan jumlah transaksi pembelian Malayan Sugar Manufacturing Co Sdn Bhd (MSM) yang sebelum ini dimiliki oleh Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok.
Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, pembelian itu dilakukan menerusi anak syarikat Felda, iaitu Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH).
Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, selari kenaikan harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG).
Kenaikan yang dikenali sebagai “4-dalam-1″ itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, termasuk mewujudkan beberapa siri bantahan, terutamanya sekitar Kuala Lumpur.
Sebelum itu, berlaku juga kenaikan “5-dalam-1 yang turut membabitkan harga gula, dua gred pretrol, diesel dan gas, pada 15 Julai tahun lalu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan