Rabu, 19 Oktober 2011
Politik seks Malaysia terkenal didunia
Edwin Michael
Percaya atau tidak, kita termasuk kanak-kanak seusia 16 tahun sudah diheret jauh ke dalam gelanggang politik binatang yang terlalu kejam dan terlampau kotor. Politik Malaysia tidak pernah lekang daripada perkataan ‘seks’ yang saya percaya, satu-satunya negara di dunia ini yang memiliki pentas politik berkonsepkan seks dan adegan ranjang.
Dan kita seolah-olah seronok dibuai-buai dengan keghairahan melihat semua ini tanpa sedikit pun perasaan malu dan hina sedangkan kita gah sebagai negara Islam dan negara yang mendaulatkan raja serta sultan.
Saya tidak tahu berapa ramai di luar sana terusik jiwa melihat kerakusan politikus pemerintah yang menjadikan anak Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai sasaran politik mereka yang teramat sukar untuk diterima akal pemikiran waras.
Mengapa pentas politik begitu jijik hinggakan kehidupan seorang kanak-kanak dijadikan taruhan politik pemerintah. Adakah kerana status quo dan hegemoni yang mereka miliki membuatkan mereka bertindak sedemikian?
Ironisnya, kita yang sedekahkan mereka status quo dan kekuasaan itu dan pada masa yang sama kita juga sengaja biarkan mereka memperlakukan apa jua pada mangsa mereka tanpa sedikit pun perasaan kemanusiaan.
Hak kanak-kanak
Kanak-kanak bukan sahaja merupakan penyambung generasi tetapi juga bertindak menjadi suatu asset yang penting dalam memastikan nadi pembangunan sosioekonomi negara membangun secara mapan pada masa hadapan.
Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001.
Atas dasar itu, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of the Child (CRC) pada 17 Februari 1995. CRC memberikan tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada beberapa aspek seperti kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation).
Malah, kepentingan kepada golongan kanak-kanak ini juga dengan jelasnya dapat dilihat dalam pernyataan Wawasan 2020 di mana institusi keluarga dan kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam usaha negara mencapai status negara maju di samping melahirkan masyarakat yang saksama dan penyayang.
Sayangnya, sebagai sebuah negara pihak (state party) kepada CRC, golongan politikus yang mempunyai hubungan langsung dengan pemerintah gagal menunjukkan rasa prihatin dan komited terhadap tanggungjawab bersama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak dilindungi dengan sewajarnya.
Mengheret seorang kanak-kanak yang hanya berusia belasan tahun dan kemudian menjadikannya sebagai bahan gurauan di kalangan para politikus pemerintah sememangnya membuktikan betapa rendahnya moral dan etika profesionalisme golongan ini.
Saya sukar memahami bagaimana selama ini kita biarkan golongan-golongan ini merajai segenap ruang politik negara!
Membisu seribu bahasa
Kenapa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hanya membuta dan membisu sedangkan dengan jelas ini isu ini jatuh di bawah skop kementerian berkenaan lebih-lebih lagi ini melibatkan hak seorang kanak-kanak yang tidak berupaya untuk bertindak mempertahankan diri daripada penderaan emosi yang diakibatkan oleh politikus-politikus pemerintah ini.
Jika menteri berkenaan hanya bertindak melihat isu ini daripada sudut politik sahaja maka kita sebagai rakyat juga harus bersama membuta dan membisukan diri dan kemudiannya meraikan hari kanak-kanak dengan penuh kepura-puraan seolah-olah kanak-kanak di negara ini bebas daripada cengkaman permainan politik kotor.
Masyarakat harus memahami bahawa memberikan ruang kepada para politikus dengan menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran politik kotor adalah sesuatu yang amat merbahaya kerana tindakan mereka bukan sahaja akan memberikan impak kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan tetapi juga kemungkinan untuk kanak-kanak berkenaan mengalami tekanan dari segi psikologi juga adalah tinggi.
Gelanggang politik di Malaysia adalah untuk mereka yang dewasa.
Biarkan kanak-kanak dengan dunia mereka sendiri. Saya bukan menulis ini atas prinsip sebagai penyokong pihak pembangkang tetapi atas dasar bahawa kanak-kanak juga mempunyai hak untuk dihormati dan dilindungi daripada sebarang perbuataan tidak bertamadun dan tidak bermanusiawi oleh sesiapa pun termasuk mereka yang memiliki kuasa!
Penulis adalah pensyarah di Jabatan Kewartawanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan