Tekanan sesetengah pihak mungkin menjadi punca Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan terhadap pembangkang, bukannya kerana melaksanakan undang-undang secara tegas, kata bekas Peguam Negara.
Sabtu, 13 September 2014
Akta Hasutan: AG terpaksa?
Tekanan sesetengah pihak mungkin menjadi punca Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan terhadap pembangkang, bukannya kerana melaksanakan undang-undang secara tegas, kata bekas Peguam Negara.
Bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman mengambil contoh tindakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, R S N Rayer yang didakwa atas dua pertuduhan baru-baru ini.
Abu Talib berkata banyak kritikan dibuat terhadap peguam negara apabila Rayer di bawah ke mahkamah, tetapi tidak didakwa.
"Banyak laporan dibuat. Juga banyak komen negatif terhadapnya," kata Abu Talib yang menjadi peguam negara selama 13 tahun dari 1980 hingga 1993.
"Adakah kerana ada pihak yang meminta dia (Gani) untuk bertindak (memfailkan pertuduhan terhadap Rayer)? Saya tidak tahu. Harapnya tidak," kata Abu Talib kepada The Malaysian Insider.
Ekoran itu, bukan sahaja Rayer yang didakwa, tetapi ramai wakil rakyat pembangkang dan aktivis juga didakwa.
"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana peguam negara kini yang juga pendakwaraya, patut bertindak berdasarkan undang-undang yang sesuai serta bukti yang kukuh.
Abu Talib berkata Perlembagaan Persekutuan memberi pendakwaraya budi bicara yang mutlak sama ada untuk memulakan, menjalankan atau meneruskan kes jenayah, tetapi ia perlu digunakan dengan bijaksana.
"Terpulang kepada anda berdasarkan bukti dan undang-undang yang sesuai, bukan mengikut suka hati sendiri atau disuruh pihak lain," katanya.
Beliau berkata jawatan peguam negara merupakan kedudukan yang penting bagi kerajaan.
"Peguam negara perlulah matang dan berminda adil, bukannya beremosi," kata Talib, menambah mendakwa seseorang berdasarkan pendapat sendiri adalah perkara serius kerana ia mengubah seluruh hidup mereka.
"Orang ramai akan memandang serong kepada kita walaupun selepas mengaku tidak bersalah," tambahnya.
Pada 27 Ogos, Rayer yang juga seorang peguam didakwa dengan dua dakwaan berasingan di bawah Akta Hasutan kerana kenyataan kontroversinya "celaka Umno" pada 20 Mei semasa sidang dewan undangan negeri Pulau Pinang.
Rayer juga didakwa kerana mengulang kenyataan "celaka" kepada hadirin semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor di Jalan Delima pada 22 Mei.
Ahli Umno mengadakan protes di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di mana mereka menyerbu masuk ke dalam dewan, mencari wakil rakyat itu.
Ini diikuti bantahan di luar ibu pejabat DAP di Pudu, Kuala Lumpur dan di pejabat DAP di Kuantan, Pahang.
Rayer sepatutnya didakwa pada 19 Jun, tetapi Pejabat Peguam Negara tidak melakukannya. Tiada alasan yang diberikan atas penangguhan tersebut.
Turut didakwa menghasut adalah Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran (PKR), ahli Parlimen Shah Alam yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS Khalid Samad.
Pada 2 September, profesor undang-undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom didakwa dengan hasutan berdasarkan kenyataan dalam artikelnya tentang krisis perlembagaan Perak yang dilaporkan dalam portal berita pada 14 Ogos.
Ahli politik Sabah David Orok didakwa di bawah akta yang sama pada 3 September kerana didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad di dalam Facebook dua bulan lalu.
Seorang pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussein mengaku tidak bersalah pada Rabu kerana membuat kenyataan berbaur hasutan yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Facebook November tahun lepas.
Sekiranya didapati bersalah, mereka boleh disaman sehingga RM5,000 atau dipenjarakan maksima tiga tahun, ataupun kedua-duanya.
Bagaimanapun, wakil rakyat berisiko kehilangan jawatan mereka jika mahkamah menjatuhkan hukuman RM2,000 atau lebih, ataupun tempoh penjara sekurang-kurangnya setahun.
Semalam, peguam hak asasi manusia Edmund Bon berkata dia juga sedang disiasat atas kenyataan yang dibuatnya dalam artikel pada Januari.
Ditanya jika patut bagi pendakwaraya mendakwa seseorang lama selepas kesalahan dilakukan, Talib berkata, "Tiada tempoh masa yang mengikat bagi sesuatu jenayah yang dilakukan, tetapi ia tidak digalakkan untuk mendakwa melainkan terdapat bukti yang amat kukuh."
Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menghadapi dakwaan memfitnah kerana membuat kenyataan menghina tentang Datuk Seri Najib Razak dan pasukan pertahanan negara pada April 2012.
Nizar didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh pada 25 Ogos. – 13 September, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/adakah-peguam-negara-tertekan-dengan-jumlah-dakwaan-hasutan-tanya-abu-talib#sthash.3zpd4AMO.dpuf
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan