Jumaat, 15 April 2011
Rakyat Sarawak mahu gulingkan BN
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat yakin dapat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang bakal berlangsung kurang 24 jam dari sekarang.
Dalam sidang media terakhir beliau sebelum hari pengundian esok, Anwar berkata, keyakinan itu berlandaskan perkembangan melalui respon rakyat sepanjang tempohnya berkempen selama 13 hari di sini.
“Kita optimis dapat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, bahkan harapan kita adalah lebih dari itu, iaitu mahu menubuhkan kerajaan di Sarawak.
“Ia tidak mudah, kerana pilihan raya ini tidak dijalankan dengan bebas dan adil. Keprihatinan kami adalah berdasarkan perkembangan beberapa jam mulai sekarang,”
katanya pada sidang media di Hotel Grand Continental, pagi tadi.
Anwar menegaskan, Pakatan Rakyat sebenarnya bukan berhadapan dengan Barisan Nasional, tetapi jentera kerajaan yang ditunggangi Barisan Nasional.
“Barisan Nasional tiada wibawa, sehinggakan ketika mereka menganjurkan program pun, terpaksa menggunakan kapasiti sebagai jawatan Menteri.
“Jika mereka duduk di atas nama Barisan Nasional, ia tidak mendapat sambutan,” kata Anwar.
Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha pihak tertentu yang melakukan rekayasa di media menjelang tidak lebih 24 jam dari tarikh pengundian merupakan percubaan untuk mengalihkan pandangan rakyat Sarawak daripada melakukan perubahan.
“Fokus sekarang ini adalah rakyat mahu tentukan pemilihan kepimpinan di Sarawak. Jangan benarkan sesiapa alih pandangan. Lusa boleh bincang tentang Anwar.
“…Nak bincang boleh. 17 haribulan boleh teruskan serangan seperti biasa terhadap Anwar,” kata Anwar.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan