Jumaat, 15 April 2011
Kebangkitan rakyat bakal ubah Sarawak – Anwar
SEMARIANG: Kebangkitan rakyat Sarawak melawan kezaliman regim Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri kali ini adalah sejarah yang belum pernah berlaku, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.
“Tidak pernah terjadi dalam sejarah Sarawak sebelum ini yang rakyat bangkit untuk membuat perubahan.
“Kita bukan hanya mahu gantikan kerajaan, tetapi kita mahu ubah sistem yang rosak oleh pentadbiran BN,” katanya pada program Grand Finale di sini, malam tadi.
Ribuan penduduk setempat bersesak-sesak hadir bagi mengikuti ceramah Anwar di Bandar Baru Semariang, Kuching malam ini.
Buat pertama kali, rakyat Sarawak menunjukkan sokongan jitu melawan regim BN yang selama ini mendominasi pemerintah negeri itu tetapi gagal menangani dan membela kebajikan rakyat walaupun Sarawak antara negeri terkaya di Malaysia.
Sebelum ini,parti pembangkang baik parti kelahiran negeri itu mahupun yang beribu pejabat di Semenanjung Malaysia sukar bertapak di negeri itu tetapi kini, segala-galanya berubah berdasarkan perkembangan politik semasa di Sarawak kebelakangan ini.
Acara itu adalah program kemuncak anjuran KEADILAN yang turut menampilkan tokoh dan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah; Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pada program itu, Anwar turut memperkenal calon-calon Pakatan Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, Semariang, Tupong, Pantai Damai dan Demak Laut.
“Inilah pimpinan yang kita tampilkan. Kita bukan hanya cakap-cakap kosong tetapi kita sudah buktikan di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat,” kata Anwar.
Di DUN Asiajaya, meskipun berucap tas kenderaan pacuan empat roda, sambutan kehadiran penduduk setempat yang mahu mendengar amanat Anwar, mengalihkan seketika tumpuan pekan kecil itu.
Turut hadir ialah calon DUN Asajaya, Arip Ameran – seorang peguam syarie yang diyakini menang DUN itu berikutan kawasan itu adalah kubu kuat KEADILAN.
Di Kampung Jaei dalam DUN Sadong Jaya yang dihuni majoriti masyarakat Melayu, Anwar memperkenal calon Pakatan Rakyat dari PAS, Abang Eddy Abang Fauzi yang juga Ketua Pemuda PAS Sarawak.
Turut hadir ialah Exco Selangor, Ronnie Liew, Dr Halimah Ali, dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa.
Di Bazar Serian, sambutan masyarakat pelbagai bangsa juga tidak kurang hebatnya walaupun terpaksa berdiri, penduduk tidak berganjak untuk mendengar mesej perubahan yang disampaikan Anwar.
Kehadiran ramai termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menunjukkan sokongan kelompok minoriti itu kepada Pakatan Rakyat.
Di Borneo Development Centre (BDC) Kuching, kawasan yang majoritinya pengundi Cina, kira-kira 7,000 hadir dalam ceramah kelompok.
“Berubahlah. Apakah kita mahu pertahankan dua tiga kerat pimpinan yang rakus membolot harta rakyat ini? Rakyat tidak mahu diperbodohkan. Enough is enough. Kita mesti tumbangkan kerajaan BN!” kata Anwar.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan