PILU...isteri mangsa ditenangkan ahli keluarga di luar bilik mayat HUKM.
“Arwah berulang kali menyuarakan rasa bimbang dengan siasatan yang dijalankan ke atasnya. Dia tidak menceritakan secara terperinci mengenai siasatan itu, tapi memberitahu sering murung hingga sukar tidur malam.”
Demikian kata Ridzuan Mamat, 46, rakan karib Penolong Pengarah Kastam Cawangan Import Eksport Pelabuhan Utara Jabatan Kastam Diraja Selangor (KDRM), Ahmad Sarbini Mohammed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu, Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa ditemui tertiarap dengan kesan kecederaan parah di kepala oleh seorang pegawai SPRM sebelum memaklumkannya kepada pihak atasan.
Ridzuan yang ditemui ketika menziarahi jenazah Ahmad Sarbini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, berkata, perkara itu diceritakan arwah rakannya itu dalam perbualan telefon di antara mereka, beberapa hari lalu.
“Saya hanya menasihatinya agar tidak takut jika berada di pihak yang benar,” katanya.
Ahmad Sarbini sering berkongsi cerita atau masalah dengan Ridzuan yang dikenalinya sejak 20 tahun lalu disebabkan hubungan baik yang terjalin di antara mereka sejak tinggal bersama di Kampung Talang, Lambor Kanan, Parit, Perak.
Ahmad Sharbini meninggalkan seorang balu berusia 40-an dan lima anak berusia antara lapan hingga 20-an termasuk anak perempuannya yang dikatakan baru bertunang awal bulan lalu.
Seorang rakan setugas Ahmad Sarbini yang enggan dikenali pula berkata, kira-kira jam 5 petang kelmarin, dia bermain tenis bersama Allahyarham di pejabatnya di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
“Ketika itu, arwah seolah-olah melepaskan tekanan dihadapinya. Apabila saya tanya mengenai perkembangan siasatan kes rasuah membabitkannya, dia diam dan terus meninggalkan gelanggang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan