Kerajaan hanya menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa Mesir untuk menyelamatkan rakyat Malaysia di negara yang sedang bergolak itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beberapa rancangan utama telah dirangka oleh kementeriannya bagi memberi bantuan segera, termasuk menghantar bekalan makanan dan membawa mereka keluar menerusi jalan darat ke negara terdekat seperti Jordan.
Katanya, alternatif lain yang mungkin dilaksanakan adalah dengan membawa keluar rakyat negara ini ke Jeddah, Arab Saudi menerusi laluan udara.
"Kita sudah menghubungi pihak berkuasa di Jeddah dan meminta mereka mengecualikan penggunaan visa dalam masa terdekat bagi membawa masuk rakyat kita ke sana," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Tahun Baru Cina Daerah Kimanis, di sini.
Mengulas lanjut, Anifah berkata, sebelum ini pihaknya bercadang membawa keluar rakyat Malaysia ke Riyadh, Jordan dan Tripoli menggunakan jalan darat, namun keadaan yang semakin meruncing menyulitkan rancangan tersebut.
Menurutnya, tindakan segera yang mungkin boleh dilaksanakan oleh pihak kementerian itu adalah dengan menghantar bekalan makanan menerusi pesawat Charlie dan kemudiannya digunakan untuk mengangkut rakyat Malaysia.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaannya masih bergantung kepada keadaan di Mesir dan laporan yang diterima daripada Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan Ahli Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor, yang berada di sana.
Tambahnya, jika rakyat Malaysia di Mesir berjaya dihantar ke Jeddah, ia satu tindakan yang baik kerana pelbagai kemudahan Lembaga Tabung Haji (TH) ada di situ.
Selain itu katanya, usaha juga sedang dilakukan untuk membawa pulang lebih 200 rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan