Teoh Beng Hock, Wanita Pertama dan Komanwel
Tindak tanduk kerajaan Malaysia kian merisaukan, sikap acuh tidak acuh kerajaan dalam bertanggungjawab terhadap pelbagai masalah dalam negara amat membimbangkan rakyat. Mungkin kerajaan lupa bahawa warga negara yang layak mengundi terdiri daripada jutaan rakyat yang berakal dan memerhati mereka setiap hari dan bukan hanya penyokong tegar Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Rencana kali ini cuba mengupas kembali beberapa peristiwa yang masih menjadi tanda soal dalam benak pemikiran rakyat jelata. Rencana ini berpandangan mengenai persepsi rakyat yang sudah mula khuatir dengan corak pimpinan yang kian tidak masuk akal, langsung tidak bermotifkan politik seperti cuaca yang melanda Negara sejak 2008. Teoh Beng Hock Kita petik dahulu peristiwa kematian mendiang Teoh Beng Hock. Daripada apa yang diketahui umum, Teoh Beng Hock telah dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Shah Alam. Mendiang telah disiasat selepas waktu pejabat selama sembilan jam sebelum ditemui mati pada jam 1.30 petang. SPRM menyatakan bahawa mendiang kali terakhir ditemui masih hidup sekitar jam 6.00 pagi, dan menyatakan bahawa mendiang telah dibebaskan pada jam 3.45 pagi namun tiada penjelasan diberikan mengapa telefon bimbit dan barangan milik mendiang masih dalam simpanan SPRM sewaktu mendiang ditemui mati. SPRM juga menjelaskan bahawa mendiang telah memohon untuk bermalam di pejabat tersebut. Pelik tapi benar, seorang pembantu politik pihak pembangkang mahu berada di pejabat SPRM setelah disoal siasat selama sembilan jam berhubung dakwaan majikannya yang telah membayar RM2,400 bagi Jalur Gemilang yang ditempah untuk perayaan hari kebangsaan. Hebat dan menghairankan, siasatan selama sembilan jam bagi dakwaan penyelewengan bagi belanja sebanyak RM2,400, agaknya selama berapa jam bekas menteri besar Selangor dan Sarawak disoal-siasat di atas dakwaan penyelewengan jutaan ringgit. Barangkali ini harus dikategorikan di bawah penyakit tidak tahu bernisbah kerajaan Malaysia. Apa pula yang terjadi kepada laporan penyelewengan tersebut? Di mana hasil soal-siasat selama sembilan jam itu? Barangkali pegawai-pegawai SPRM bekerja keras untuk memperoleh sedikit maklumat untuk memalukan pihak pembangkang, untuk diwar-warkan di muka depan akhbar-akhbar tempatan yang tidak habis menghina rayat jelata keturunan Cina dan India yang menumpahkan taat setia terhadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Apa mahu dihairankan - kerajaan yang sama juga telah mempelopori pindaan Perlembagaan 1993 yang membenarkan raja-raja Malaysia dibicarakan dalam mahkamah khas. Rakyat juga masih ingat lagi betapa beraninya mereka menderhaka pada 2008 apabila tidak mempersetujui perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin dalam melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu. Tindakan Haji Mohammad Nizar Jamaluddin juga tidak terlepas daripada perhatian rakyat, sekurang-kurangnya beliau ada "menyembah derhaka". Wanita pertama Sebagai rakyat yang menumpahkan cinta dan taat setia pada YDPA dan Raja Permaisuri, kami rasa terguris dengan sikap biadap kerajaan Malaysia yang sudah mula mencabar institusi raja-raja secara halus. Baru-baru ini, ada suara-suara sumbang yang mempersoalkan siapa isteri Perdana Menteri (gambar kanan) untuk sewenang-wenangnya menggunakan gelaran "wanita pertama" dengan menyisihkan Raja Permaisuri yang lebih layak akan gelaran itu. Apa yang menghampakan adalah alasan bahawa isteri David Cameron juga digelar sebegitu. Institusi Di-Raja Malaysia bukanlah suatu monarki seperti di England, institusi kita mempunyai makna yang lebih besar kerana YDPA dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Ketua Negara kita bukanlah Perdana Menteri, tetapi YDPA yang melampaui mainan politik, Baginda adalah simbol perpaduan dan kebanggaan rakyat jelata. Hanya Raja Permaisuri yang layak digelar wanita pertama, sesungguhnya rakyat pelbagai bangsa tersinggung dengan karenah kerajaan Malaysia. Sukan Komanwel Beralih pula kepada sukan Komanwel yang sedang berlangsung di New Delhi India, setakat ini wira dan wirawati Negara telah berjaya mengumpulkan tujuh pingkat emas, lapan pingat perak dan lapan gangsa. Syabas bagi mereka, kami berbangga dengan hasilnya setakat ini. Sukan Komanwel 2010 New Delhi telah memakan belanja sebanyak USD 6.8 billion seperti yang dilaporkan oleh majalah Business Today, menjadikanya Sukan Komanwel yang termahal dalam sejarah. Itu urusan rakyat India, tiada kaitan dengan kita namun hakikat bahawa kos tersebut boleh didapati dengan mudah membangkitkan persoalan tentang kos Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998. Sudah 12 tahun menyepi, sedangkan India boleh mempamerkan maklumat kos tersebut sebaik sahaja bermulanya Komanwel New Delhi 2010. Ke mana laporan kewangan berhubung belanja Kuala Lumpur 98? Bagaimana wang rakyat dibelanjakan pada ketika itu? Mengapa soalan ini masih tidak dibangkitkan oleh mana-mana wakil rakyat kerajaan 1Malaysia mahupun pakatan pembangkang dalam Parlimen? Badan Pencegah Rasuah tidak mengambil parwah hal ini? Barangkali nilai penyelewengan yang terlibat memerlukan masa lebih daripada sedekad untuk disoal-siasat dan disenyapkan? Kami tidak percaya dengan sindiran emosi Mahathir Mohamad bahawa Melayu mudah lupa. Barangkali rakyat Malaysia sabar menanti dan terus memerhati kerenah kerajaan 1Malaysia yang kian menjadi-jadi. *Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh ialah penulis bebas. nota; Rencana diatas adalah pandangan peribadi penulis tiada berkaitan dengan malaymerdeka |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan