Saya mengucapkan berbanyak Terima Kasih kepada pengelola Konvensyen Peneroka Felda yang bersejarah ini kerana memberi peluang kepada saya untuk kemukakan pendapat. Saya harus mengakui sudah lama tidak membuat kajian atau berinteraksi dengan peneroka-peneroka Felda. Oleh itu, pengetahuan saya terkini mengenai perkembangan lembaga ini dan masalah-masalah yang dihadapi oleh peneroka-peneroka tidak mendalam. Izinkanlah saya memberikan pandangan umum dari jauh. Kertas kerja ini akan menumpukan perbincangan secara khusus lebih kepada hal-hal yang berkaitan dengan tajuk di atas. Kita akan melihat ke arah mana Felda telah dan perlu dibawa. Juga, apakah perkara-perkara yang patut dilakukan untuk membela kedudukan generasi kedua bahkan ketiga, iaitu anak dan cucu peneroka-peneroka asal. Akan tetapi sebelum itu perlulah kita meninjau apakah yang telah berlaku setakat ini. Asal-Usul Felda Pada tahun 1956 Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) telah ditubuhkan. Kini ia lebih dikenali sebagai FELDA, iaitu Federal Land Development Authority. FELDA merupakan sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Tanah rancangan FELDA yang pertama dibuka pada tahun 1958, iaitu di Lembah Bilut, Bentong, Pahang, dengan peneroka seramai kira-kira 400 orang. Mereka yang mula-mula menjadi peneroka adalah benar-benar peneroka, yang membuka hutan untuk menanam getah. Mereka melakukan semua jenis dan peringkat kerja, dari menebang menebas hutan hingga menanam dan menoreh, dengan menggunakan tenaga empat kerat sendiri. Mula-mula mereka tinggal di rumah panjang secara membujang. Hanya setelah mereka mendirikan rumah sendiri barulah keluarga mereka dibawa bersama. Pada tahun 1960 diluluskan Group Settlement Act, untuk menyelaras semua rancangan kemajuan berkelompok, termasuk FELDA, FELCRA dan Tanah Pinggir. Tujuan utama rancangan FELDA dan rancangan-rancangan kemajuan tanah yang lain, sebagaimana yang diumumkan oleh pelopornya Razak Hussein, ialah untuk mengatasi kemiskinan, khususnya di kalangan masyarakat desa. Pada ketika itu lebih 60% rakyat desa, kebanyakannya petani kecil, hidup dalam kemiskinan. Menghapus kemiskinan merupakan tujuan ekonomi. Akan tetapi, di sebaliknya tersirat juga tujuan politik, iaitu untuk memastikan sokongan dari kalangan rakyat ramai kepada Kerajaan. Agenda yang tidak dinyatakan ialah ia juga merupakan salah satu projek untuk mengatsi cabaran dari parti-parti lawan, termasuk PAS, Fron Sosialis dan PKM. Apabila konsep serta rancangan kemajuan kampung, yang diperkenalkan kerajaan dengan Buku Hijau, FELDA menjadi projek terpenting di dalamnya. Peneroka FELDA dipilih terutama dari kalangan petani yang tidak mempunyai tanah sama sekali. Namun dipilih juga mereka yang memiliki tanah kurang dari dua ekar. Tanah pertanian seluas ini dianggap tidak ekonomik dan tidak boleh menjamin kehidupan. Selepas kelulusan akta tahun 1960 itu, cara pengurusan rancangan FELDA berubah. Kebanyakan kerja, seperti menebang, menebas, menyediakan benih dan menanam dikelolakan oleh Lembaga FELDA. Kerja-kerja ini bisanya dilaksanakan secara kontrak. Segala bayaran yang dikenakan bagi semua kerja ini dianggap sebagai hutang peneroka. Cara peneroka membayar hutang ialah dengan pihak Lembaga memotong sebahagian pendapatan dari jualan hasil yang dikeluarkan. Semua hutang, yang berjumlah sekitar RM25,000, dengan bunga agak tinggi, iaitu 6.25%, harus dibayar dalam tempoh 15 tahun. Inilah kali pertama para petani dibebankan dengan jumlah hutang sebegitu besar. Selalunya jumlah pendapatan yang boleh dibawa balik oleh peneroka bergantung kepada harga pasaran hasil pengeluaran mereka. Harga getah dan kelapa sawit tidak stabil, sering turun naik mengikut pasaran dunia. Bagi peneroka getah dan kelapa sawit, jumlah ini agak besar juga manakala harga di pasaran dunia tinggi. Akan tetapi, apabila harganya meleset, ada yang tidak dapat membawa balik sesen pun. Bahkan kadang-kadang mereka terpaksa berhutang pula lagi untuk membeli barang-barang keperluan harian. Ramai peneroka yang merasa mereka tidak terlepas dari belenggu kemiskinan dan bebanan hutang. Setiap bidang tanah FELDA diberi khusus untuk peneroka yang asal. Apabila peneroka meninggal, tanahnya tidak boleh dibagi-bagikan kepada warisnya mengikut hukum faraid. Begitu juga semasa hidup peneroka tidak boleh memindahkan milik atau mewasiatkan tanah kepada seorang atau semua warisnya. Pembentukan FELDA Holdings Keadaan di mana tanah peneroka tidak boleh diwariskan menjadi salah satu faktor pendesak bagi menubuhkan FELDA Holdings pada 6 September 1995. Namun terdapat juga faktor-faktor lain. Penubuhan FELDA Holdings ini boleh dikatakan kuat didorong oleh Mahathir Mohamad, Perdana Menteri waktu itu. Mahathir (gambar kiri) terkenal sebagai pemimpin yang lebih mengutamakan kemajuan perdagangan serta perindustrian dari kemajuan pertanian. Beliau juga menekankan perlaksanaan projek-projek besar bukan yang kecil-kecilan. Kemungkinannya beliau memandang projek FELDA sebagai projek skala kecil yang kurang produktif dan patut diubah. Sesuai dengan falsafah pembangunannya, tidak hairan jika Mahathir ingin melihat FELDA diuruskan atas asas skala besar. Ini bukan saja dianggapnya lebih produktif bahkan, lebih penting lagi, boleh menimbulkan ramai lagi pengurus, usahawan dan korporat/kapitalis Melayu, sebagaimana yang hendak digalakkannya selari dengan salah satu objektif asal DEB. FELDA Holdings merupakan salah sebuah konglomerat (syarikat) yang terbesar dalam bidang perladangan di seluruh dunia. Dalam negara ia adalah syarikat kedua besarnya selepas PETRONAS. Ia terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan yang meliputi perladangan, hiliran, pembikinan dan perkhidmatan. Syarikat ini menguruskan tanah seluas 550 ribu hektar, 96 peratus ditanam dengan kelapa sawit. Selain itu ia terlibat juga dengan 70 buah kilang sawit, 13 kilang getah, 7 penapis, 4 kilang menghancurkan isi sawit dan lain-lain. Pada tahun 2008 jumlah hasil perniagaannya mencecah jumlah RM15.4 bilion. Untung sebelum ditolak cukai pada tahun yang sama ialah sebanyak RM819 juta. Terdapat lebih kurang 60 syarikat di bawah FELDA Holdings, 50 daripadanya aktif dan kebanyakannya membawa untung. Antara anak-anak syarikat di bawahnya ialah: Felda Plantations Sdn Bhd, Felda Palm Industries Sdn Bhd, Felda Technoplant Sdn Bhd, Felda Agricultural Services Sdn Bhd, Felda Farm Pruducts Sdn Bhd dan lain-lain lagi. Felda Plantations membuka dan mengurus tanah-tanah ladang secara komersil. Selain itu ia menguruskan juga tanah-tanah Felda lama yang telah diserapkan kepadanya. Terdapat 323 rancangan FELDA di seluruh negara melainkan Pulau Pinang dan Sarawak. Sebahagian besar dari tanah rancangan asal FELDA ini telah diserapkan sebagai asas bagi penubuhan FELDA Plantations. Proses penyerapan ini berlaku dengan pelbagai cara, yang melibatkan salah satu atau lebih dari yang berikut, iaitu: penerangan, pujukan, tekanan bahkan juga paksaan sereta ugutan. Ramai peneroka menyerahkan hak milik tanah mereka kepada Felda Plantations. Mereka menjadi semacam pemegang saham dalam syarikat perladangan tersebut. Akan tetapi ramai juga yang mempertahankan kedudukan mereka dan terus bekerja sendiri sebagai peneroka cara lama. Pada masa yang sama tidak ada rancangan tanah Felda ini dibuka lagi. Ertinya, usaha untuk memberi tanah kepada petani yang ketiadaan atau kekurangan tanah tidak lagi dijalankan. Anak-anak peneroka yang tiada tanah atau pekerjaan tidak berpeluang untuk menjadi peneroka Felda. Siapa Untung? Huraian di atas menunjukkan perubahan FELDA dari sebuah lembaga yang bertujuan untuk menghapuskan kemiskinan menjadi Felda Plantations, di bawah FELDA Holdings, yang diselenggara secara komersil atas landasan kapitalis dengan tujuan mendapat laba sebesar mungkin. Siapakah yang menerima keuntungan terbanyak dari proses perubahan ini? Jawabnya sudah tentulah FELDA Holdings dan berpuluh anak syarikatnya yang aktif, terutama seperti FELDA Plantations dan Felda Technoplant. Sebagai contoh, syarikat Technoplant mengelola kerja-kerja kontrak untuk menanam semula buat kali kedua bagi penoraka Felda yang telah diserapkan ke Felda Plantation. Peneroka tidak dibenarkan menanam semula sendiri. Mereka diberikan hutang (bukan bantuan) untuk membayar semua kerja ini. Sudah tentulah hutang perlu dibayar. Technoplant mendapat untung dari kerja kontrak ini. Selain itu mereka juga menambah keuntungan dengan mengenakan bayaran untuk khidmat nasihat yang kononnya diberi kepada peneroka. Sudah tentu FELDA Holdings membayar gaji dan/atau elaun yang lumayan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah, Pengarah-pengarah dan CEO masing-masing. Bagi FELDA Holdings, Pengerusi Lembaga Pengarah seorang "Tan Seri", khabarnya dibayar gaji kira-kira RM30 ribu sebulan. Itu tidak termasuk elaun bagi menghadiri mesyuarat dan lain-lain keistimewaan. Seterusnya sembilan dari 10 orang ahli lembaga pengarah bergelar "Datuk" dan sudah tentu dibayar elaun sesuai dengan status mereka. Begitu juga dengan CEO-nya. Tidak diketahui berapa gaji serta elaun untuk CEO itu dan berapa pula elaun mesyuarat, perjalanan, penginapan dan lain-lain bagi pengarah-pengarah. Tiap-tiap anak syarikat FELDA Holdings, juga mempunyai pengerusi serta ahli-lembaga pengarah sendiri dan boleh jadi CEO juga. Jumlah gaji dan elaun mereka tidak diketahui. Adalah menarik jika dibuat kajian tentang ini dan berapa peratuskah keuntungan dari tiap-tiap syarikat dibayar kepada mereka. Walau bagaimanapun mungkin item gaji dan elaun yang dibayar kepada semua pengarah dan CEO merupakan sebahagian kecil saja dari keuntungan yang diperolehi setiap syarikat. Apakah item pembayaran yang terbesar sekali? Betulkah tuduhan bahawa sebahagian dari keuntungan yang diperolehi Felda Holdings disalurkan kepada UMNO? Jadi soal pokoknya ialah, apa dan siapakah yang mendapat bahagian terbesar sekali daripada untung itu. Kajian perlu dibuat untuk mendapatkan maklumat penting ini. Siapa Rugi? Adalah dianggarkan bilangan peneroka dalam semua rancangan tanah FELDA berjumlah kira-kira 113,000 orang. Rata-rata peneroka asal diberi pinjaman lebih kurang RM30,000 seorang untuk belanja semua jenis kerja membangunkan tanah. Ada kerja yang peneroka lakukan sendiri dan ada yang dilakukan secara kontrak melalui pengurusan FELDA. Hutang harus dibayar dalam tempoh 15 tahun. Ada yang mengambil masa lebih lama dari itu. Untuk membayar hutang, pendapatan yang peneroka perolehi dari menjual hasil kepada pengurusan FELDA dipotong di pangkal. Sehingga tahun 2000 semua peneroka telah melunaskan hutang mereka. Sepatutnya selepas itu secara automatik peneroka harus diberikan geran milik tanah. Sebaliknya mereka terpaksa meminta dan tidak diberikannya dengan mudah. Yang sering berlaku ialah peneroka dengan berbagai-bagai cara diminta atau dipaksa menyerahkan milik tanah mereka supaya menjadi semacam pemegang saham dalam Felda Plantations. Tidak semua yang bersetuju. Mereka yang bersetuju diikat dengan pinjaman bagi kali kedua untuk menam semula kebun dan membina rumah baru. Jumlah hutang kali kedua ini sekitar RM70,000. Sebagai pemegang saham mereka diberikan bayaran sebanyak kira-kira RM1200 sebulan yang boleh dianggap seolah sebagai "dividen", yang dibayar setiap bulan. Ramai peneroka menanggung hutang lagi sewaktu umur sudah lajut dan bagi sesetengah peneroka hutang ini mungkin tidak langsai lagi apabila mereka mati. Walaupun demikian, tidak kurang pula mereka yang berasa gembira kerana menerima pendapatan bulanan dengan bergoyang kaki saja tanpa perlu membuat sebarang kerja. Sesetengah mereka menganggap pendapatan ini sebagai bayaran "pencen" semasa tua. Kadang-kadang mereka lupa tentang bebanan hutang yang mereka pikul. Sistem ini tidak memerlukan mereka bekerja dan bahkan mengalakkan mereka menjadi malas. Pada hakikatnya pendapatan peneroka yang diserap ke dalam Felda Plantations menerima pendapatan jauh lebih kecil dari pendapatan para peneroka yang mengambil geran dan menguruskan tanah sendiri. Misalnya, didapati bahawa semasa kelapa sawit mengalami harga yang tinggi, peneroka yang menguruskan tanah sendiri boleh mendapat pendapatan sampai RM5000, iaitu 4-5 kali ganda dari apa yang diperolehi peneroka yang menyertai Felda Plantations itu. Peneroka yang terlibat dengan FELDA Holdings sering dalam kerugian. Bukan saja pendapatan mereka kecil, bahkan mereka memikul bebanan hutang yang banyak. Pendapatan mereka merudum turun, kadang-kadang menghampiri sifar apabila harga kelapa sawit turun terlalu rendah. Kehidupan keluarga sempit dan masa depan kebanyakan anak cucu mereka tidak terjamin.
Nasib Generasi Kedua Seperti yang diterangkan di atas, selepas pembentukan Felda Plantations, tidak ada lagi tanah dibuka untuk peneroka baru. Ertinya, sudah dinafikan peluang untuk petani miskin yang ketiadaan atau kekurangan tanah untuk mendapat tanah. Tiada juga peluang untuk generasi kedua dan ketiga (anak serta cucu peneroka asal) walaupun tiada pekerjaan atau tidak bertanah. Mereka tidak ada peluang pekerjaan lain dan tidak dapat mengikut jejak bapa atau datuk mereka. Bilangan pekerja di bawah FELDA Holdings (yang meliputi semua anak syarikatnya) berjumlah kira-kira 19,000 orang. Ini tidak termasuk peneroka dan pekerja ladang. Kebanyakan pekerja ladang dalam Felda Plantations terdiri dari pendatang luar negara. Begitu juga dengan pekerja-pekerja kontrak yang digunakan untuk kerja-kerja khusus seperti menanam semula di bawah kelolaan Technoplant. Bilangan orang tempatan kecil. Walaupun ada anggapan konon generasi kedua peneroka tidak suka menjadi "kuli ladang", namun maklumat yang dikumpul menyatakan ada di antara mereka yang memohon tidak diterima. Ada anggapan kononnya mereka ini tidak bersedia bekerja sekuat pekerja-pendatang yang dibayar gaji agak rendah, tidak mendapat syarat-syarat perkhidmatan yang baik dan mudah pula dikawal. Tiada gaji tetap bagi mereka. Ada yang merasakan seolah-olah mereka bekerja sebagai hamba. Seterusnya, ramai anak peneroka Felda mempunyai kelayakan atau kelulusan dari pusat-pusat pengajian tinggi. Di antara mereka ada yang telah mendapat biasiswa di bawah rancangan bantuan FELDA Holdings. Sepatutnya mereka ini diberikan keutamaan menjadi pegawai dalam FELDA Holdings atau anak-anak syarikatnya. Akan tetapi tidak. Walaupun ada yang diambil bekerja, saya diberitahu peratusannya adalah kecil. Terdapat anggaran bahawa bilangan generasi kedua dan ketiga Felda menghampiri 800,000. Bilangan sebenar boleh jadi lebih kecil dari itu. Berdasarkan bilangan 113,000 keluarga peneroka dan anggapan setiap seisi rumah terdiri dari 5-6 orang, saya anggar bilangan mereka mungkin dalam lingkungan 500 hingga 600 ribu. Yang lebih penting dan serius dari angka ini ialah sebahagian besar dari mereka yang tidak berpeluang mendapat pekerjaan di tempat lain masih tinggal bersama-sama keluarga mereka di rancangan Felda. Ramai dari mereka dalam keadaan menganggur. Mereka terbiar. Bermacam-macam masalah sosial timbul di kalangan mereka akibat pengangguran itu. Bilangan mereka yang terlibat dengan pencurian, penyalahgunaan dadah, perbuatan-perbuatan sumbang dan menjadi Mat Rempit dan macam-macam lagi, sangat besar. Hal-hal ini buruk akibatnya dalam masyarakat peneroka dan serius implikasinya ke seluruh negara. Malangnya hampir kesemua mereka ini terdiri dari muda-mudi Melayu. Apa Perlu Dilakukan? Untuk memastikan masa depan lebih baik bagi peneroka Felda dan masa depan yang lebih cerah bagi generasi kedua dan ketiga peneroka Felda, beberapa langkah perlu dan boleh diambil. Antaranya ialah:- a) Membuka semula rancangan tanah Felda mengikut konsep asalnya, tetapi tanpa merosakkan alam sekitar, dengan tujuan memberi peluang terutama sekali kepada generasi kedua dan ketiga yang tidak bertanah atau tiada pekerjaan mengatasi kemiskinan. b) Menggalakkan dan membuka peluang seluas mungkin kepada generasi kedua dan ketiga yang mempunyai kelayakan atau kelulusan, terutama yang telah menerima biasiswa dari FELDA Holdings, untuk menjadi pegawai dalam syarikat gergasi itu serta anak-anak syarikatnya. c) Memberikan peluang luas, galakan kuat dan insentif serta syarat perkhidmatan yang baik untuk menarik anak-anak muda dari generasi kedua dan ketiga bekerja dalam ladang-ladang Felda Plantations dalam bentuk yang ada sekarang. d) Membuka pelbagai pusat latihan serta kemahiran (seperti vokasional) yang terbuka lebih ramai (tetapi tidak eksklusif) kepada anak-anak muda generasi kedua dan ketiga bagi meningkatkan taraf kebolehan dan kemahiran mereka. e) Mengkaji semula hutang dengan tujuan menghapuskan hutang besar dengan bunga tinggi yang dibebankan ke atas peneroka. f) Mengubah pendekatan dan sistem perladangan Felda supaya keuntungan besar yang diperolehi FELDA Holdings serta anak-anak syarikatnya dapat diagihkan secara adil untuk memberi faedah dan kebajikan lebih besar kepada petani-peneroka umumnya. Perlunya Penyusunan Semula Perkara (f) di atas perlu dibincang dengan lebih lanjut lagi. Sebagaimana yang sudah diterangkan, FELDA Holdings dan anak-anak syarikatnya seperti Felda Plantations dan Felda Technoplant merupakan syarikat-syarikat berorientasi komersil yang berasaskan sistem kapitalis. Tujuan utamanya ialah untuk memaximakan keuntungan. Untuk mencapai tujuan ini tidak hairanlah jikalau mereka sampai tergamak melakukan penindasan ke atas peneroka yang menyertainya. Misalannya, mereka memberikan pendapatan yang rendah kepada peneroka, membelenggukan mereka dengan hutang yang agak kadar faedahnya (6.25%), dan mengenakan bayaran lain, seperti untuk khidmat nasihat. Sekali-sekala, khususnya berdekatan hari perayaan atau pilihanraya diadakan upacara-upacara memberikan "wang hadiah" kepada para peneroka. Para pembesar, termasuk Perdana Menteri menyampaikannya. Acapkali pemberian ini diwar-warkan sebagai langkah kerajaan yang dikatakan prihatin terhadap nasib rakyat. Wang hadiah itu sering diumumkan sebagai wang dari kerajaan. Akan tetapi, sebenarnya ia datang, antara lainnya dari tanah kepunyaan peneroka sendiri, yang sudah dikawal oleh FELDA Holdings melalui Felda Plantations. Sebenarnya wang hadiah itu lebih kecil daripada jumlah yang sewajarnya boleh dan harus diterima oleh peneroka. Ramai yang menganggap struktur syarikat yang wujud tidak memberikan faedah serta kebajikan sewajarnya kepada petani-peneroka. Untuk meningkatkan setinggi-tingginya faedah serta kebajikan itu mereka berpendapat perubahan atau penyusunan semula perlu dilakukan ke atas syarikat, dari segi falsafah, pendekatan, struktur dan organisasi. Dalam hal ini mereka mengemukakan pandangan berbeza yang boleh dirumuskan kepada tiga jenis alternatif. Alternatif A: Mengagih semula keuntungan yang diperolehi FELDA Holdings untuk faedah dan kebajikan petani-peneroka. Seperti yang telah disebut lebih awal, keuntungan syarikat bagi tahun 2008 melebihi RM800 juta. Kita belum melihat atau mengetahui laporan yang menunjukkan siapa atau golongan mana yang mendapat bahagian terbesar dari keuntungan ini. Yang dicadangkan untuk Alternatif A ini ialah supaya sebahagian besar keuntungan syarikat diagihkan kepada petani-peneroka dengan menaikkan pendapatan mereka. Selain itu hendaklah digunakan juga keuntungan itu bagi membina pusat-pusat latihan kemahiran dan juga memberi lebih banyak bantuan (ditambah dengan subsidi dari Kerajaan) untuk pendidikan dan kesihatan bagi anak-anak petani-peneroka yang layak. Alternatif B: Memecah-mecahkan semula semua tanah ladang yang dibuka dan dikelola oleh Felda Plantations kepada lot-lot seluas 10 ekar. Kemudian mengagihkannya kembali kepada generasi kedua serta ketiga yang tidak mempunyai tanah atau pekerjaan dan juga kepada petani yang ketiadaan atau kekurangan tanah di luar rancangan Felda. Dengan Alternatif B ini bererti konsep pengurusan tanah secara perladangan ala Felda Plantations perlu diberhentikan dan kembali semula kepada pengagihan dan pengurusan tanah mengikut rancangan tanah yang asal. Dikatakan bahawa jikalau cara ini dilaksanakan maka kira-kira 80,000 peneroka baru (beserta keluarga mereka) boleh medapat faedah daripada ladang-ladang yang dipecah dan diagihkan. Alternatif C: Menukar cara pengurusan semua syarikat yang terlibat kepada cara yang berasaskan prinsip kooperasi. Sehubungan ini peneroka dan juga pekerja syarikat hendaklah dijadikan sebagai pemegang saham dalam usaha koperasi yang besar. Semua urusan kerja seperti membeli benih, menanam semula, mengilang biji sawit, memasarkan minyak sawit dan sebagainya hendaklah dilakukan atas asas kooperasi. Di sini kita lihat asas falsafah dan pendekatan menyelenggara syarikat dan menjalankan aktivitinya perlu dirombak sama sekali. Ada kemungkinan bahawa struktur dan organisasi syarikat-syarikat tidak begitu banyak perlu diubah. Pada masa ini FELDA Holdings dimiliki seperti berikut; 51% oleh Kooperasi Permodalan Felda (KPF)
49% oleh peneroka Felda (yang telah diserap)
01% Saham Emas (Golden Share) oleh Kementerian Kewangan. Walaupun angka di atas menunjukkan modal terbesar syarikat dimiliki oleh badan yang dinamakan koperasi namun syarikat itu tidak kelihatan sama sekali mengamalkan prinsip kooperasi dalam urusannya. Perubahan dan penyusunan semula yang besar memang diperlukan untuk membantu golongan rakyat miskin, terpinggir dan berpendapatan rendah. Lebih banyak yang diperlukan daripada hanya dalam proses perubahan dan penyusunan semula itu. Berhubung dengan FELDA Holdings serta anak-anak syarikatnya, perubahan mengikut tiga Alternatif di atas merupakan cabaran sangat besar. Pada peringkat akhir Kerajaan mempunyai kuasa penentu ke atas Felda Holdings dan segala perubahan dan penyusunan semula yang hendak dilakukan. Ini dilambangkan oleh Saham Emas yang dimiliki Kerajaan. Jikalau ada perubahan atau penyusunan semula hendak dilakukan dengan jaya, ia memerlukan keazaman politik (political will) terutama sekali di kalangan pihak yang mempunyai kuasa. Dalam keadaan sekarang ini, dengan kepentingan mereka serta kroni-kroni mereka, saya tidak nampak bagaimana pemimpin-pemimpin besarnya boleh menyetujui ketiga-tiga Alternatif yang dirumuskan. Namun demikian para peneroka yang prihatin, seperti saudara-saudara yang hadir dalam Konvensyen bersejarah ini, harus mengkaji dengan terperinci setiap Alternatif. Kita mesti meneliti masalah-masalah dan kepentingan golongan apa yang harus diatasi. Kita mesti mengkaji cara-cara untuk mengatasinya. Kita mesti putuskan Alternatif mana yang terbaik. Kita berharap Insha Allah akan berlaku pertukaran pemerintahan di negara ini kepada yang lebih peduli akan nasib rakyat yang lemah. Apabila ini berlaku, kita harap juga para peneroka sudah bersedia dengan apakah pilihan yang terbaik untuk faedah, kebajikan dan kepentingan mereka. Ini boleh dijadikan agenda perjuangan mereka untuk masa kini dan akan datang. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan