Hanya klik iklan untuk sedekah amal jariah. Dengan menekan/ klik iklan di halaman ini anda telah membuat sedekah kepada admin...t.kasih

Allah berfirman dalam Surah al-Hujuraat ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada sangkaan itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah menjadi mayat tentu sahaja kamu tidak suka. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat lagi bersifat ar-Rahim."

tersurat tersirat

tersurat tersirat
-Saya suka PAS kerana merapati pemimpin dan ahlinya menjadikan saya orang yang baik. Saya mudah menginsafi hidup yang akan menemui matinya. Saya suka UMNO kerana merapati pemimpin dan ahlinya menjadikan saya peka untuk memahami kesusahan rakyat, khususnya menjaga kepentingan bangsa saya. Saya suka PKR dan DAP kerana merapati pemimpin dan ahlinya menjadikan saya bersemangat untuk memperjuangkan keadilan dan menegakkan hak-hak rakyat yang terpinggir. Saya tidak nyatakan parti-parti lain kerana dua sebab. Pertama, bersifat tempatan seperti parti-parti Sabah dan Sarawak. Kedua, kerana kemunculannya sudah semakin tidak relevan. Saya tidak suka PAS kerana mudah melabelkan orang yang tidak menyokongnya sebagai tidak Islamik. Saya tidak suka UMNO kerana bersikap double standard dan angkuh dengan kuasa. Saya tidak suka PKR dan DAP kerana menunjukkan imej memperjuangkan kebebasan, tetapi realitinya tetap alergik pada perbezaan pendapat. .

ketuanan melayu

ketuanan melayu

Rabu, 11 Mei 2011

Umno 1946, Umno 1988

 Oleh Karim Amir
Hari ini, 11 Mei 2011 Umno menyambut ulang tahun ke-65. Tetapi melihat sejarahnya Umno yang ada hari ini bukanlah parti yang mewarisi secara sambung-menyambung daripada pertubuhan yang ditubuhkan pada 1946.
Ini kerana pada tahun Umno yang didaftarkan pada 11 Mei 1946 itu telah diisytiharkan haram oleh mahkamah pada 1988. Umno yang ada sekarang sebenarnya adalah Umno Baru yang didaftarkan pada 13 Februari 1988. Ia kemudian berjaya menggugurkan perkataan baru itu dan selanjutnya diterima oleh mahkamah sebagai pewaris kepada Umno tahun 1946.
Perbezaan antara Umno dan Umno Baru bukan sekadar dari segi undang-undang. Baik dari segi politik mahupun fahaman, terdapat perbezaan antara kedua parti bernama sama untuk zaman yang berbeza. Umno yang asal ditubuhkan oleh Datuk Onn Jaafar sementara Umno kini adalah diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagi memudahkan cerita sememangnya boleh dianggap terus bahawa Umno kini adalah sama dan lanjutan kepada Umno tahun 1946. Tetapi hakikatnya perbezaan fahaman antara apa yang diasaskan oleh Datuk Onn dan Dr Mahathir tentunya berbeza.
Sememangnyalah setiap pemimpin Umno mencorakkan bentuk dan hala tuju parti. Tentulah Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir mempunyai perbezaan cara mereka mencorakkan Umno. Begitu juga dengan cara Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak memimpin Umno kini masing-masing mencorakkan perjalanan parti menurut cara tersendiri.
Tetapi dengan menubuhkan Umno Baru, Dr Mahathir mendapat peluang untuk membentuk semula parti itu secara segar, hinggakan boleh dikatakan bahawa ia merupakan suatu usaha peremajaan semula parti tersebut. Maka, jika dikirakan bahawa parti itu kini adalah merupakan Umno baru, maka ia sekarang berusia hanyalah 23 tahun. Tidakkah ia merupakan peremajaan semula sedangkan Umno asal itu sudah tiada ketika ia berusia 42 tahun. Sepatutnya begitu.
Atau mungkin peremajaan semula inilah yang menyebabkan parti itu dalam bentuk Umno baru membolehkan ia menyambung hayat perjuangannya bagi memenangi semula pilihan raya umum iaitu pada tahun 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008.
Tetapi cuba bandingkan kemenangan Umno yang lama dalam pilihan raya terdahulu iaitu pada tahun 1955, 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1981 dan 1986. Melihat sekali imbas pilihan raya yang dihadapi oleh Umno asal ialah kejayaan besar mereka berbanding parti yang kini.
Dari segi kerajaan negeri juga,  dapat dilihat bahawa kekalahan besar berlaku pada tahun 1959 apabila Umno kehilangan Kelantan dan Terengganu kepada PAS. Ia kemudian dapat mengambil balik Terengganu dari segi pilihan raya pada tahun 1964 dan Kelantan pada 1978.
Sementara Umno yang kini pula kehilangan Kelantan pada 1990 dan Terengganu pada 1999. Walaupun ia berjaya meraih semula Terengganu pada 2004, tetapi ia kehilangan Kedah, Perak dan Selangor pada 2008. Justeru, apabila melihat prestasi pilihan raya, Umno kini tidaklah seberjaya seperti Umno asal. Dalam erti kata lain, apa yang dilihat sebagai peremajaan semula dengan penubuhan Umno baru pada 1988 tidak berlaku.
Sememangnya dari segi fahaman dan matlamat perjuangan Umno tahun 1946 adalah sama dengan Umno Baru 1988.
Tetapi tokoh-tokoh kepimpinannya berbeza. Dr Mahathir yang mengasaskan Umno Baru sememangnya berjiwa Umno asal kerana beliau terlibat dengan parti ini sejak awal lagi. Begitu juga dengan Tun Ghafar Baba yang menjadi Timbalan Presiden pertama Umno Baru.
Namun kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pucuk pimpinan tertinggi Umno baru membuatkan ia berbeza dengan Umno dahulu.
Walaupun kemudian kebanyakan pemimpin Parti Melayu Semangat 46 menyertai Umno Baru, yang akhirnya membolehkan parti itu dianggap sebagai pewaris terus kepada Umno asal, keadaan parti sudah berubah, bukan saja dari segi struktur tetapi juga kesinambungan kepimpinan. Keadaan ini berlaku walaupun Anwar disingkirkan daripada parti pada 1998.
Para penyokong Anwar menubuhkan Parti Keadilan Nasional yang disertai oleh banyak bekas penyokong Umno. Sebagai sebuah parti berbilang kaum tetapi dipimpin oleh orang Melayu, ia seolah-olah merupakan penjelmaan semula apa yang pernah diutarakan oleh pengasas Umno sendiri iaitu Datuk Onn.
Sementara kemudian Parti Rakyat Malaysia (PRM) bergabung dengan PKN untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR), ia mengimbau kembali kepada apa yang berlaku semasa penubuhan Umno dahulu.
PRM adalah pewaris kepada Parti kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), sebuah parti Melayu kiri dan progresif yang turut menyertai Umno, yang pada mulanya merupakan gabungan persatuan-persatuan orang Melayu. Ia kemudian keluar dari Umno kerana parti itu dilihat sebagai konservatif, didominasi oleh bangsawan dan tidak memperjuangkan kemerdekaan sepenuhnya.
Maka begitulah cabaran yang dihadapi oleh Umno akan datang. Walaupun katakan pada kemudian hari, PKR menjadi lemah atas banyak sebab tetapi tuntutan rakyat, termasuk orang Melayu sudah jauh berbeza daripada apa yang yang dihadapi oleh baik Umno asal tahun 1946 mahupun Umno kini yang berupa lanjutan kepada Umno Baru tahun 1988.



Utusan Malaysia dan ancaman terhadap keselamatan negara

Hafiz Zainuddin 


Nikmat keamanan yang dikecapi oleh lebih 27 juta rakyat Malaysia sekali lagi diancam oleh akhbar Utusan Malaysia!  Dari isu kuil, kepala lembu, bakar gereja, sehinggalah isu "Kristian sebagai agama rasmi".  Nasib kita dan Malaysia terus diperjudikan oleh kelompok terdesak yang suka memanipulasi isu agama dan bangsa sehingga dikhuatiri mampu menimbulkan kekacauan.  Malangnya, mereka nampaknya kelihatan kebal dari sebarang peruntukan undang-undang; Akta Hasutan contohnya.
Apakah kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan akan terus membiarkan Utusan Malaysiamelakukan apa sahaja yang mengancam keselamatan negara?  Isu Kristian sebagai agama rasmi ini dilihat akan menjadi polemik berpanjangan, manakala sebahagian golongan rakyat yang tertipu akan terus memperbincangkan isu ini walhal ia tidak pernah wujud sama sekali!  Selagi pihak yang mendakwa tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh - rakaman video mahupun audio - kita boleh meletakkan isu ini sebagai isu fitnah -tidak benar- palsu!  Malah; dakwaan Utusan ini telahpun disangkal sekeras-kerasnya oleh DAP mahupun Persekutuan Kristian Malaysia.
Isu ini seharusnya tidak perlu diperpanjangkan malah kerajaan harus bertindak cepat dan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab.  Rentetan dari isu ini, ia secara tidak langsung dilihat cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu Lynas mahupun kenaikan harga RON 97, begitu juga dengan isu kenaikan harga gula di pasaran.  Semakin hari, gagasan 1Malaysia telah dibogelkan oleh kelompok mereka sendiri.  Kebenaran makin terserlah.  1Malaysia telah terbukti sebagai gagasan kosmetik.
Utusan Malaysia telah lama hilang integriti.  Dakwaan blogger yang telah disensasikanUtusan Malaysia menggambarkan DAP sebagai sebuah parti chauvinis Cina yang berbahaya untuk negara dan umat Islam walhal DAP semakin diterima baik oleh sebahagian masyarakat Melayu dan ini amat menggusarkan UMNO.
Saya percaya isu yang ditimbulkan ini semata-mata bertujuan politik.  Ia mengimbau kembali bagaimana almarhum Gus Dur, mantan Presiden Indonesia didakwa telah dibaptiskan oleh sekumpulan paderi semasa majlis National Prayer Conference pada tahun 2003 walhal beliau cuma didoakan kesihatannya.  Perkara ini telah mendapat liputan meluas media massa dan menjadi kontroversi.  Lantas, sekali lagi polemik Islam -Kristian timbul manakala Abu Bakar Al-Basyir pula menyifatkan Gus Dur telahpun murtad.
Berbalik semula ke Malaysia; walaupun isu Gus Dur berbeza, saya cuba menjelaskan bagaimana sebarang isu agama begitu mudah untuk dieksploitasi.  Lebih-lebih lagi di Malaysia yang rakyatnya ditadbir dengan konsep pecah dan perintah acuan British.
Akan dakwaan jahat ini; sekali lagi umat Kristian secara langsung telah diletakkan dalam keadaan tidak selesa.  Isu ini seolah-olah "menggambarkan" agama Kristian yang telah bertapak di negara ini sejak ratusan tahu lalu sebagai sebuah ancaman kepada negara.  Siapa sebenarnya ancaman kepada negara selama ini?
Utusan Malaysia harus bertanggungjawab kerana dilihat seolah cuba menimbulkan kebencian antara umat Islam dan umat Kritian.  Rasanya rakyat Malaysia masih matang untuk menilai lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai akses kepada media alternatif.  Walau bagaimanapun, kita bimbang; isu "Kristian sebagai agama rasmi" ini walaupun sebuah dakwaan palsu, ia akan mewujudkan kelompok-kelompok ekstrem fasis agama yang akan mengancam keselamatan nyawa rakyat dan negara.  Apakah ancaman-ancaman ini sesuatu yang diimpikan oleh Utusan Malaysia dan UMNO?  Dan sekiranya ia berlaku, apakah UMNO akan bertanggungjawab?  Dan siapakah yang akan mendapat keuntungan dari perkara yang tidak diingini sekiranya berlaku?
Justeru, kita mempersoalkan di mana pihak berkuasa untuk menangani masalah ini.  Bukankah ada akta-akta tertentu untuk membendung isu sebegini?  Sebagai sebuah masyarakat yang semakin terdidik mengenai hak dan demokrasi.  Kita semestinya perlu menyokong hak kebebasan bermaklumat.  Kita juga harus bersetuju dengan sebarang pendedahan isu maupun pembongkaran terhadap sebarang salahguna wang negara mahupun salah guna kuasa pemimpin.
Walau bagaimanapun, kita harus sedar akan bahaya bentuk eksploitasi dari isu agama mahupun isu bangsa.  Media harus memainkan peranan mereka agar isu sebegini tidak lagi timbul.  Akan tetapi, apakah media negara ini mempunyai kebebasan untuk menghalang sebarang rancangan jahat kelompok tertentu?  Dakwaan seperti yang terkandung dalam blog bigdog dan Utusan Malaysia itu adalah sebuah ancaman yang bahaya dan melampau.  Rakyat harus meletakkan diri mereka di suatu sudut selamat agar tidak mudah termakan dengan propaganda terdesak sebegini pada masa yang sama harus bersatu dalam mewujudkan sebuah Malaysia baru yang lebih aman dan matang.
*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan