Selasa, 5 April 2011
fitnah semakin jelas
Ditulis oleh Wira Arjuna
Satu Malaysia kecoh …kerana sebuah klip video kurang dua minit. Ada yang mengatakan orang itu mirip Anwar Ibrahim, tidak kurang yang sangsi. Anwar berkata beliau “tidak peduli’ kerana tahu pelaku dalam rakaman itu bukan beliau.
Tindakan oleh pihak yang memuatkan video itu jelas untuk mengaibkan lagi Anwar setelah beliau enggan tunduk kepada ugutan supaya beliau dan isterinya berundur dari politik – sesuatu yang amat dihajati oleh Umno, namun tidak kesampaian.
Walaubagaimanapun setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Kepada mereka yang mempunyai kepakaran di bidang video dan mahu menegakkan kebenaran (tanpa dipengaruhi laporan media arus perdana) rakaman pendek Youtube membolehkan mereka menguji kesahihan video Datuk “T” itu buat kali pertama dengan “barang kes itu sendiri.”
Jelas beberapa persoalan asas muncul selepas melihat klip satu minit 41 saat itu, secebis daripada rakaman 21 minit yang didalangi oleh gadingan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Sharzyl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim.
Bagi mereka yang arif dalam penerbitan video persoalan pertama adalah kenapa wajah pelaku tidak jelas?
Jawapan adalah kerana Kamera “night vision” digunakan.
Kamera ini biasa digunakan apabila keadaan sesuatu tempat adalah gelap tetapi bilik hotel yang dirakam jelas mempunyai lampu dengan pancaran bayang jelas kelihatan pada dinding bilik.
Jadi kenapa kamera night vision digunakan – jawapan paling logik adalah tindakan itu disengajakan kerana kamera sedemikian akan memastikan muka pelaku dalam rakaman adalah “soft”, dan samar-samar.
Ini membolehkan pelbagai tafsiran dibuat mengenai identiti pelaku.
Persoalan penting adalah kenapa pihak yang membuat rakaman tidak menggunakan kamera biasa yang akan menampakkan dengan jelas wajah pelaku jika tujuan rakaman adalah untuk mendedahkan Anwar melakukan perbuatan sumbang.
Persoalan seterusnya ialah apa signifikannya bayang-bayang pelaku yang tertera jelas pada dinding.
Mereka yang arif dalam penerbitan video akan terus menjurus kepada bayang-bayang pelaku yang dihasilkan oleh kilauan lampu di sekitar bilik hotel berkenaan. Bilik diterangi dengan lampu, menyebabkan pantulan bayangan pada dinding dan pada tubuh ketiga-tiga pelaku setiap kali mereka melintasi lampu yang dimaksudkan.
Jika bilik diterangi sebegitu rupa, agak mustahil pelaku tidak tahu tujuannya.
Agak mustahil pelaku tidak tahu mereka sedang dirakamkan (hakikat ini akan diperkuatkan dengan hujah seterusnya).
1. Rakaman itu akan menunjukkan bahawa kedua-dua pelaku, satu berseluar dan satu bertuala begitu tekun menggunakan remote control (alat kawalan jauh) berwarna hitam yang diletakkan di atas meja di mana kamera “night vision” dipasang.
- Mungkin pihak “sebelah sana” akan mendakwa “remote contol” itu adalah untuk penghawa dingin bilik namun ini amat disangsikan kerana kedua-dua pelaku menghalakan “remote control” itu kepada apa yang ada di atas meja berkenaan.
- Fakta KEDUA-DUA pelaku lelaki mencapai dan menggunakan alat “remote control” dan mengajukannya PADA ARAH SAMA sebelum beredar adalah petanda jelas pelaku dalam video TAHU malah mendalangi rakaman itu.
- Satu kelemahan kamera “night vision” adalah ia boleh mengambil visual wajah pelaku secara samar-samar atau “soft”. Namun ia tidak dapat menyembunyi atau melunturkan imej susuk tubuh pelaku. Oleh kerana itu perut buncit dan “tetek labuh” pelaku tidak dapat dikaburkan. Ini membolehkan perbandingan jelas dibuat antara susuk tubuh Anwar dan pelaku dalam video itu.
Segala pengamatan ini diperkuatkan dengan beberapa fakta asas – video yang dinaikkan di Youtube disunting dari sudut-sudut tertentu yang pelakunya mirip iras wajah Anwar.
Kenapa agaknya pihak berkenaan tidak memuatkan keseluruhan video berkenaan di Youtube?
Jawapannya tentu kerana jika lebih banyak sudut pelaku dalam video itu ditonjolkan, risiko adalah lebih besar dan pelbagai persoalan akan ditanya oleh rakyat dan sekali gus menghakis persepsi yang cuba di tanam oleh dalang rakaman itu di minda rakyat.
Media arus perdana telah memainkan klip rakaman itu berulang kali di televisyen. Akhbar kawalan Umno turut memuatkan gambar dari klip itu di muka depan dan di muka dalam dengan mesej yang sama – tak syak lagi memang Anwar dalam rakaman video mengadakan seks dengan pelacur Cina.
Namun pengamatan yang teliti mengenai video itu oleh pakar-pakar berkaitan akan mendapati video berkenaan dihasilkan oleh seorang yang tahu menggabungkan “kuasa” kamera dengan penataan cahaya lampu’ untuk mencapai maksud yang dihajatkan oleh pihak yang mengupahnya.
Persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam rencana ini menguatkan hujah bahawa polis tidak sekadar boleh menyiasat ketulenan video itu semata-mata tetapi memperinci sama ada pelaku dalam rakaman itu benar-benar Datuk Seri Anwar Ibrahim atau tidak.
Dan, biarlah siasatan itu telus setelus-telusnya dan bukan sekadar menanam tebu di bibir.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan