Selasa, 8 Mac 2011
Zaharin Hashim pembohong tegar
KENYATAAN Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim bahawa tiada isu gaji tertunggak melibatkan pemain-pemain skuad Liga Premier Pulau Pinang merupakan satu pembohongan, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Ini kerana, para pemain Pulau Pinang sebenarnya ketika ini sedang menanggung sengsara akibat gaji mereka bagi bulan Januari dan Februari masih belum diterima sehingga semalam.
“Saya sedih dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden FAP dalam akhbar hari ini (semalam). Ia sama sekali tidak benar kerana dia kata tidak timbul isu gaji tertunggak. Ia bohong.
“Malah pemain sebenarnya turut dianiaya oleh FAP. Pada awal musim, mereka dijanjikan gaji sekitar RM3,500 hingga RM4,000 sebulan.
“Tapi sehari sebelum tarikh tutup pendaftaran, nilai gaji dalam kontrak hanyalah RM2,000 sebulan bagi setiap pemain,” kata sumber rapat FAP kepada Kosmo! semalam.
Kosmo! semalam melaporkan kenyataan Zahrain yang mahu menyiasat kemungkinan pemain-pemain Pulau Pinang menjual perlawanan sehingga menyebabkan pasukan itu kini menduduki tangga tercorot Liga Premier.
Pulau Pinang tewas kesemua lima perlawanan Liga Premier setakat ini iaitu kepada Sarawak (0-4), Pos Malaysia (0-4), Sime Darby (2-3), MP Muar (2-3) dan USM FC (0-3) selain tewas 1-5 kepada Johor pada pusingan pertama Piala FA.
Tambah sumber itu lagi, apabila gaji sudah dua bulan tidak dibayar, skuad bimbingan Robert Scully yang sedang dalam proses mencari keserasian kerana dibarisi 90 peratus pemain baru musim ini gagal memberikan perkembangan positif.
“Apabila gaji tiada, pemain hanya dapat beraksi ala kadar dan tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya. Anggapan Zahrain bahawa para pemain menjual perlawanan juga tidak benar dan keterlaluan.
“Apabila ia keluar dalam akhbar, apa perasaan keluarga, isteri dan anak-anak para pemain yang membacanya. Ia menjatuhkan maruah para pemain dan negeri Pulau Pinang sendiri.
“Sebagai rakyat Pulau Pinang, saya sedih dan malu. Zahrain sepatutnya turun padang, bukannya mencari alasan lain untuk melepaskan tanggungjawabnya selaku Presiden FAP,” jelas sumber itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan