Kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan simpang masuk ke bangunan parlimen bagi membantah pembinaan pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia di Gebeng, Kuantan.
Mereka bimbang kemungkinan penyebaran sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek bernilai RM700 juta itu beroperasi.Sebanyak empat buah bas membawa membawa aktivis yang membantah pusat penapisan yang sedang dibina oleh syarikat Australia, Lynas Corp.Penunjuk perasaan ini tiba di persimpangan parlimen sekitar jam 9.20 pagi. Mereka kemudian mengadakan perbincangan dengan seorang pegawai polis.
Hasil perbincangan, seramai 10 orang dibenarkan masuk ke parlimen, manakala penyokong lain dibenarkan berbaris di sepanjang jalan tanpa menganggu lalulintas.
Mereka juga mengibarkan poster dan kain rentang yang berbunyi: "Stop Lynas", "Hentikan Lynas".

Seramai lima anggota Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) yang diketuai oleh pesuruhjayanyanya, Mohamad Shaani dan perwakilan daripada Majlis Peguam turut hadir bagi memantau bantahan itu.
Perhimpunan aman
Kira-kira 40 anggota polis kelihatan mengawal dan memantau keadaan sekitar.

Perhimpunan hari ini diadakan secara aman. Tiada insiden yang tidak diingini dilaporkan.
Pada 23 Mac lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili berkata kerajaan memberi jaminan bahawa pembinaan loji pemprosesan logam radioaktif di Gebeng, itu adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan awam.
Katanya, sisa-sia yang akan dikeluarkan atau terhasil daripada pengilangan bahan mentah daripada loji Syarikat Lynas itu hanya mengandungi tahap bahan radioaktif yang rendah.

"Berdasarkan piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sisa seperti ini ditakrifkan sebagai bukan sisa radioaktif tetapi merupakan sisa industri yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi,” kata Ongkili.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan