Isnin, 12 Julai 2010
Ibrahim Ali terus merapu dan berlagak hero
July 12, 2010
KUALA LUMPUR, 12 Julai — Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan terbesar Melayu pimpinan Datuk Ibrahim Ali, telah mengenal pasti hampir 15 orang tokoh politik yang dianggap memusuhi dasar perjuangannya dan akan ‘dipulau’ dalam pilihan raya umum ke-13.
Pemimpin-pemimpin itu termasuklah mereka dari Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Ibrahim berkata angka itu kemungkinan meningkat atau menurun menjelang pilihan raya umum ke-13.
“Dalam lingkungan 15 orang sedang kami pantau... tetapi angka ini mungkin naik, mungkin turun bila sampai masa pilihan raya, mungkin mereka yang kami pantau ini berubah pendirian, di mana kami akan sokong kemudian.
“Tetapi setakat ini, kami belum ada senarai muktamad, ia akan berubah dari semasa ke semasa,” kata ketua Perkasa ini, pertubuhan yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum lalu atas nama mahu membela kepentingan Melayu, ketika ditemui di sini.
Kata Ibrahim, daripada jumlah itu ramai merupakan wakil-wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Ramai dari PKR,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ketika ditanya sama ada pihaknya sudah mengenal pasti ahli-ahli politik yang tidak akan mendapat sokongan Perkasa ketika pilihan raya umum ke-13.
Perkasa, yang sebahagian besar ahlinya bekas ahli Umno, sejak kebelakangan ini kelihatan memihak kepada Barisan Nasional.
Sementara banyak pihak membuat spekulasi pilihan raya umum akan diadakan tahun depan Perkasa dan Ibrahim baru-baru ini memperlihatkan hubungan dingin beberapa pemimpin Umno, MCA dan PKR.
Antara dalam senarai itu setakat ini ialah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatannya dari MCA Datuk Dr Wee Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.
Ibrahim berkata, kriteria Perkasa sangat mudah di mana seseorang calon tidak kira parti, tidak akan mendapat sokongan pihaknya jika mereka mempertikaikan hak orang Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka yang mengeluarkan kenyataan anti-Melayu tidak akan menerima sokongan,” tegas Ibrahim yang mengaku Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah salah seorang daripada mereka dalam senarai itu.
Ketika mesyuarat agung tahunan Perkasa Mac lalu, Ibrahim memberi amaran kepada parti-parti politik negara ini khususnya Umno agar tidak “bermusuh” dengan pertubuhan bukan kerajaan itu, yang berusia dua tahun, jika mahukan sokongan dalam pilihan raya umum.
“Orang berkata Perkasa hendak bersaing dengan Umno. Kita bukan bersaing dengan mana-mana parti, kita bukan bertanding dalam pilihan raya.
“Tetapi jangan bermusuh (dengan Perkasa) jika mahu menang pilihan raya, kalau bermusuh mereka akan rugi.”
“Kami mahu parti-parti politik ambil tindakan proaktif,” kata beliau sebelum ini.
Sementara itu mengulas kritikan perwakilan MIC di sini semalam, Ibrahim memberitahu ahli komponen Barisan Nasional itu kemungkinan telah salah faham dengan perjuangan Perkasa.
“Saya rasa mereka (perwakilan MIC) mendapat maklumat yang salah, saya tidak pernah menggesa agar kewarganegaraan mereka yang mempertikaikan hak orang Melayu dan Bumiputera... saya tidak pernah kata begitu,” katanya.
“Saya mengakui saya memberi kenyataan untuk mempertahankan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera kerana ada orang yang berusaha untuk mengganggu-gugat hak-hak di bawah Perlembagaan negara,” katanya lagi.
Ibrahim berkata kemungkinan kenyataan agar digugurkan kewarganegaraan mungkin dikeluarkan oleh pihak lain, bukannya “saya dan Perkasa.”
“Saya tengok banyak kenyataan yang terbitkan oleh akhbar, portal dan blog bukan yang saya kata, ada yang ditokok tambah,” kata Ibrahim sambil menambah, beliau gembira kerana Perkasa sudah dikenali ramai.
“Perwakilan MIC nampaknya salah faham, tetapi saya gembira kerana mereka pun sudah mengenali kami,” katanya.
Buat julung kali nama Ibrahim dan Perkasa pimpinannya menjadi sasaran perwakilan MIC — pertubuhan bukan kerajaan Melayu muda itu disifatkan sebagai punca perbalahan di kalangan rakyat pelbagai kaum.
Sehubungan itu, perwakilan MIC juga mendesak pihak berkuasa agar mengawal pertumbuhan dan perkembangan Perkasa itu dari awal-awal lagi supaya tidak menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara dan keharmonian pelbagai kaum.
“Sekarang kita dengar ada satu pertubuhan baru namanya Perkasa Setia, diterajui oleh Datuk Ibrahim Ali... dia seorang yang lompat dari Barisan Nasional macam katak... siapakah dia Ibrahim Ali untuk nak ugut mereka yang memberi pandangan (tentang orang Bumiputera dan Melayu),” kata perwakilan dari Batu Gajah S. Pulligessu ketika membahaskan ucapan dasar presiden semalam.
Katanya, Ibrahim tidak ada kuasa untuk meminta kerajaan menarik balik kewarganegaraan seseorang yang memberi kenyataan mengenai kaum Melayu dan Bumiputera.(Sumber MI)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan