Berikut ialah intipati Bajet 2010 '1Malaysia, Kemakmuran Bersama':
1.
Peruntukan wang berjumlah RM191.5 bilion yang meliputi RM138.3 bilion
(72.2 peratus) untuk belanja mengurus dan RM53.2 bilion (27.8 peratus)
untuk belanja pembangunan.
2. Bayaran khas RM500 kepada penjawat
awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara
wajib kerajaan pada bulan Disember ini.
3. Peningkatan
pengecualian cukai pendapatan kepada penyedia perkhidmatan jagaan
kesihatan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport
kepada 100 peratus sebagai galakan untuk menarik lebih ramai pelancong
kesihatan.
4. Pelepasan cukai individu ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012.
5. Pinjaman pembelian komputer ditawarkan kepada penjawat awam setiap tiga tahun sekali berbanding lima tahun sekali sekarang.
6. Subsidi, insentif dan bantuan hampir RM2 bilion untuk membela nasib golongan petani dan nelayan.
7.
Peruntukan lebih RM9 bilion untuk projek infrastruktur termasuk
pembinaan jalan, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembentungan,
pelabuhan dan perkhidmatan laut serta projek lapangan terbang.
8.
Peruntukan tambahan RM20 juta di bawah Tabung Kumpulan Usaha Niaga
(TEKUN) untuk usahawan kecil kaum India (Peruntukan sedia ada RM15
juta).
9. Peruntukan RM3 juta sebagai geran pelancaran penubuhan
Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni
sentiasa terbela dan diberi perhatian.
10. Peruntukan tambahan
RM20 juta untuk memberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)
dengan sasaran 20 buah sekolah pada 2010.
11. Menganugerahkan
Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik
berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini
akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.
12.
Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya
menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf
dengannya bermula tahun 2010.
13. Diskaun tambang 50 peratus
bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13
tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar bermula 1 Jan, 2010.
14.
Pakej "netbook", termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma, kepada
100,000 pelajar universiti tempatan dengan bayaran RM50 sebulan untuk
tempoh dua tahun bermula 1 Jan, 2010.
15. Peruntukan RM100 juta
bagi pelaksanaan Program PERMATA, yang memberi penekanan terhadap
kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan
terancang.
16. Perlindungan insurans dan takaful mikro untuk
peniaga kecil-kecilan mendapat manfaat perlindungan dalam lingkungan
RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan.
17. Menubuhkan 14 lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan empat Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah.
18.
Cukai perkhidmatan sebanyak RM50 setahun ke atas kad kredit utama dan
kad caj, termasuk kad yang diberi percuma dan cukai pendapatan RM25
setahun ke atas setiap kad kredit tambahan mulai 1 Jan, 2010.
19.
Semua kementerian dan jabatan kerajaan diwajibkan untuk menyediakan
pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak dengan setiap
kementerian dan jabatan diberi peruntukan RM200,000 untuk penubuhannya.
20. Kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus berkuatkuasa tahun taksiran 2010.
21.
Pelepasan diri kepada pembayar cukai pendapatan individu dinaikkan
kepada RM9,000 daripada RM8,000 mulai tahun taksiran 2010 bagi
membolehkan pembayar cukai nikmati peningkatan pendapatan boleh guna
sebanyak RM1,000.
22. Hampir 50,000 isi rumah miskin tegar yang
berdaftar di bawah program eKasih dan 4,000 isi rumah Orang Asli yang
telah dikenal pasti akan dibantu untuk mencapai matlamat sifar
kemiskinan tegar. Peruntukan RM41 juta untuk meningkatkan kualiti hidup
masyarakat Orang Asli.
23. Peruntukan RM48 juta bagi
melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar meliputi bantuan
kebajikan dan program bayaran sewa rumah dan Kementerian Wilayah
Persekutuan ditukarkan nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar.
24. Penyediaan 74,000 rumah kos rendah oleh Jabatan Perumahan Negara untuk disewa pada tahun 2010.
25.
Pelancaran skim KWSP pada Januari 2010 bagi membolehkan pencarum
mendapatkan jumlah pembiayaan lebih besar bagi pembelian rumah yang
bernilai lebih tinggi atau bagi pembelian rumah tambahan.
26.
Peruntukan RM224 juta kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan Program
Pemulihan Dalam Komuniti dan peruntukan RM174 juta untuk warga emas.
27.
Kadar elaun kanak-kanak OKU di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO
dinaikkan daripada RM50 kepada RM150 sebulan bagi setiap orang mulai 1
Jan 2010.
28. Penubuhan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.
29. Potongan caruman pekerja KWSP dinaikkan semula ke kadar 11 peratus secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.
30.
Membina jalan luar bandar sepanjang 510km dan jalan kampung sepanjang
316km dengan peruntukan RM857 juta termasuk jalan di Kapit, Lawas dan
Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di
Sabah.
BERNAMA