Hanya klik iklan untuk sedekah amal jariah. Dengan menekan/ klik iklan di halaman ini anda telah membuat sedekah kepada admin...t.kasih

Allah berfirman dalam Surah al-Hujuraat ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada sangkaan itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah menjadi mayat tentu sahaja kamu tidak suka. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat lagi bersifat ar-Rahim."

tersurat tersirat

tersurat tersirat
-Saya suka PAS kerana merapati pemimpin dan ahlinya menjadikan saya orang yang baik. Saya mudah menginsafi hidup yang akan menemui matinya. Saya suka UMNO kerana merapati pemimpin dan ahlinya menjadikan saya peka untuk memahami kesusahan rakyat, khususnya menjaga kepentingan bangsa saya. Saya suka PKR dan DAP kerana merapati pemimpin dan ahlinya menjadikan saya bersemangat untuk memperjuangkan keadilan dan menegakkan hak-hak rakyat yang terpinggir. Saya tidak nyatakan parti-parti lain kerana dua sebab. Pertama, bersifat tempatan seperti parti-parti Sabah dan Sarawak. Kedua, kerana kemunculannya sudah semakin tidak relevan. Saya tidak suka PAS kerana mudah melabelkan orang yang tidak menyokongnya sebagai tidak Islamik. Saya tidak suka UMNO kerana bersikap double standard dan angkuh dengan kuasa. Saya tidak suka PKR dan DAP kerana menunjukkan imej memperjuangkan kebebasan, tetapi realitinya tetap alergik pada perbezaan pendapat. .

ketuanan melayu

ketuanan melayu

Isnin, 8 Mac 2010

Ibrahim Ali beri kata dua


Kata dua MPM, tolak model ekonomi baru jika abai agenda Melayu




 Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang ditubuhkan minggu lalu menegaskan ia akan menolak model ekonomi baru, bakal dilancarkan hujung bulan ini, jika tidak memasukkan asas agenda orang Melayu dan Bumiputera.
Salah satu asas yang diputuskan MPM dalam persidangan meja bulatnya ialah mendesak kerajaan agar model ekonomi baru merujuk kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai sumber induk dalam menggubal dasar itu.
Jurucakap MPM, Datuk Ibrahim Ali(gambar) berkata dasar-dasar yang tidak melahirkan program berpendekatan afirmatif akan memudaratkan orang Melayu dan Bumiputera yang merupakan kaum majoriti rakyat Malaysia, yang masih mundur dan ketinggalan.
“Dalam sistem demokrasi kaum majoriti adalah merupakan agenda nasional,” kata beliau pada sidang media di akhir persidangan yang diadakan di bangunan Matrade, di sini petang ini.
Selain itu kata beliau, kerajaan mestilah menjadikan agenda pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera sebagai Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).
MPM juga mahu kuota Melayu dan Bumiputera pada sektor strategik tidak dihapuskan.
Malah, kata Ibrahim, MPM juga mahu kerajaan mengambil pendekatan campur tangan dalam pasaran nagi menjayakan agenda Melayu dan Bumiputera.
“Pasaran ekonomi tidak diliberalisasikan sehingga pengusaha Bumiputera terpaksa menghadapi persaingan 'brutal',” kata beliau yang Presiden Perkasa.
Selain itu menurut beliau, MPM juga mahu model ekonomi baru yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hujung bulan ini mengekal dan menambah agensi amanah yang membangunkan agenda ekonomi Malayu dan Bumiputera manakala syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) aktif dalam membantu kaum Melayu menguasai rangkaian nilai dalam sektor-sektor strategik dan berupayaan.
“MPM menentang sekeras-kerasnya sebarang percubaan daripada mana-mana pihak untuk menidakkan hak-hak Melayu dan Bumiputera dalam model ekonomi baru atas apa jua alasan sebagaimana jaminan di dalam asas Artikel 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Dasar kesungguhan atau tindakan afirmatif untuk menjaga kepentingan kaum majoriti rakyat Malaysia mesti diteruskan dalam model ekonomi baru agar pembahagian kekayaan negara diagihkan dengan adil untuk semua kaum di Malaysia, paling tidak berdasarkan matlamat nisbah yang ditetapkan dalam DEB iaitu 30:40:30,” kata Ibrahim.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan mempunyai satu peruntukan khas di bawah Artikel 153 bertujuan memelihara orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153.
“Ia menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet, berkuasa menyelamatkan atau menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dengan menentukan kedudukan mereka dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan.”











mukhriz mahathir pejuang melayu?



Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir(gambar) berkata, Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang ditubuhkan minggu lalu dengan 86 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, tidak harus dilihat sebagai “kumpulan pendesak cauvanis.”
“Saya fikir adalah penting MPM tidak dilihat sebagai kumpulan pendesak cauvanis.
“Sebaliknya, ia harus dilihat sebagai sebuah pertubuhan nasionalis yang melihat isu-isu kebangsaan sebab kita tahu dan setiap orang harus memahami yang ini, apabila majoriti penduduk ketinggalan sudah tentu ia tidak baik untuk setiap orang,” kata beliau.
“Pada asasnya, ia selaras dengan Piagam PBB, piagam hak asasi manusia. Apa yang kita lakukan setakat ini diiktiraf sebagai satu dasar yang betul oleh UNDP, Bank Dunai dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia dan Dana Kewangan Antarabangsa,” kata beliau ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Meja Bulat Model Ekonomi Baru di sini hari ini.
Mukhriz merupakan timbalan menteri pertama yang menghadiri majlis MPM sejak ia dilancarkan minggu lalu.
Persidangan meja bulat itu dianjurkan oleh MPM.
Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) yang diketuai Mukhriz juga merupakan salah satu anggota MPM.
Ia merupakan gabungan kedua ditubuhkan oleh NGO Melayu selepas pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu bagi menjaga kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera.
Dua hari selepas MPM dilancarkan, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata beliau tidak menolak kemungkinan penubuhan MPM akan mengambil alih tugas dan peranan Umno dalam memperjuangkan kepentingan kaum majoriti itu di negara ini.
Khir berkata, keadaan itu boleh berlaku jika ada segelintir pemimpin Umno bersikap seperti “Malaysian Malaysia” ekoran terlalu banyak memenuhi tuntutan yang dibuat kaum lain.
Pada 27 Feb lalu, sebanyak 76 NGO melancarkan penubuhan MPM di Kelab Sultan Sulaiman di ibu negara, tapak yang pernah membawa kepada kelahiran Umno lebih enam dekad lalu bagi melindungi kepentingan orang Melayu dan beragama Islam di negara ini.
NGO yang turut menggerakan MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia dan Cuepacs.
Mengenai latar belakang penubuhannya, kenyataan akhbar yang dikeluarkan MPM minggu lalu menyebut “susulan beberapa perbincangan oleh beberapa pemimpin NGO Melayu, hasrat menubuhkan sebuah majlis perundingan untuk menggabungkan seberapa banyak NGO Melayu yang prihatin terhadap perkembangan terkini yang dihadapi oleh orang Melayu (muncul).”
“Semakin jelas nampaknya 'tekanan' (ke atas) hak dan keistimewaan orang Melayu di tanah air sendiri, terhadap kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini, kedudukan dan kedaulatan Kesultanan Melayu yang sering dipertikaikan, Dasar Ekonomi Baru yang nampaknya makin dipinggirkan sedangkan kemampuan orang Melayu mencapai matlamat DEB jauh tersasar serta isu keselamatan negara,” katanya.
Ini adalah antara beberapa isu “sensitive” orang Melayu yang kini semakin kerap menjadi bahan hasutan oleh mereka yang jelas ingin memporak-perandakkan keselamatan dan kesejahteraan negara ini, tambah kenyataan itu.
Hari ini Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas berkata pihaknya telah memperoleh 86 keanggotaan setakat pagi ini.
Kata beliau, hari ini MPM menubuhkan lima pasukan petugas iaitu berkaitan ekonomi, bahasa dan pendidikan, agama dan sosial, ekonomi dan perundangan.

Mansuhkan seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah

Muhammad Faizal Abdul Aziz


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada tindakan seorang bekas pengurus bank yang mencabar hukuman sebat terhadapnya kerana peruntukan undang-undang bagi hukuman sebat bersifat menindas dan prejudis kepada kaum lelaki.

Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah menyatakan bahawa hukuman sebat tidak boleh dikenakan ke atas mana-mana pesalah wanita. Justeru itu, peruntukan sedia ada ini dilihat amat bercanggah dengan prinsip kesaksamaan dan anti diskriminasi jantina sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa “Kecuali sebagaimana dibenarkan dengan nyatanya oleh Perlembagaan ini, tidaklah boleh ada perbezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab agama, kaum, keturunan, tempat lahir, atau gender dalam mana-mana undang-undang”.

Maka, PKPIM ingin mencadangkan agar peruntukan dalam Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah ini dimansuhkan memandangkan peruntukan tersebut dilihat sebagai “Ultra Vires” kerana ia secara terang-terangan bercanggah dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, pemansuhan ini juga perlu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kecelaruan sistem perundangan negara khususnya apabila ia melibatkan peruntukan undang-undang Syariah bagi negeri-negeri tertentu.

Secara umumnya, dalam beberapa peruntukan Syariah, hukuman sebat boleh dikenakan ke atas mana-mana pesalah tanpa mengira jantina pesalah berkenaan.

Sebagai contoh, Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987) telah memperuntukkan bahawa bagi sesiapa yang didapati bersalah meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi 6 kali sebatan.

Ini bertepatan dengan lunas-lunas perundangan Islam yang menyatakan bahawa hukuman sebat boleh dikenakan ke atas kesalahan tertentu tanpa mengira perbezaan jantina seseorang. Seperti contoh, dalam Surah An-Nur ayat 2 Allah berfirman “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat”.

Namun demikian, kaedah dan cara pelaksanaan hukuman tersebut perlu dikaji semula agar ia bersesuaian dengan nilai-nilai dan sifat-sifat kewanitaan. Lantaran itu, PKPIM berpendapat bahawa, kaedah pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Islam yang lebih berperikemanusiaan, tidak mencederakan, serta bertujuan mendidik pesalah adalah kaedah terbaik yang harus dilaksanakan ke atas pesalah wanita.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut menggesa semua pihak untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam memberi sumbangan idea bagi memastikan keharmonian antara sistem undang-undang Sivil dan Syariah terjalin.

Penulis adalah Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Harussani seorang mufta -NIK AZIZ



Harussani mufti atau mufta? — Nik Abdul Aziz Nik Mat

Harussani Zakaria


7 MAC — 2010.

Terkilan saya apabila Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria menyebut nama saya secara terbuka di khalayak. Samada di dalam mesyuarat atau persidangan dewan, menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka biarlah dengan kehadiran tuan punya badan.
Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan. Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika. Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya.
Adil juga jika saya menukilkan dahulu sebahagian ucapan beliau di program Dialog Za’ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lepas. Antaranya beliau berkata,
“Kenapa PAS tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.
“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.
“Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dan dia juga bersetuju.”
Saya ingin menyentuh berkaitan kenyataan yang menyebut beliau dating ke rumah saya. Benar atau tidak, terserahlah kepada khalayak. Bagi saya, ini di antara beliau dan saya. Cuma pertanyaan saya, tidakkah itu satu keterlibatan dengan politik? Sedarkah beliau bahawa kerajaan Perak yang dirampas dari tangan rakyat hari ini didokong oleh Umno, sebuah parti yang meyakini bahawa politik dan agama tidak boleh bercampur? Dalam bahasa mudahnya, politik suku agama suku.
Jika mufti sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan PAS adalah benar. Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah Umno?
Inilah yang diperjuangkan oleh PAS. Tegak berdirinya PAS dengan perjuangan menjadikan Islam sebaagai cara hidup. Tidakkah al-Quran sebuah kitab yang syumul? Isinya bukan sahaja akidah, bahkan soal ekonomi, politik, rumahtangga, psikologi dan kaunseling, semuanya ada di dalam al-Quran. Tidakkah ini merupakan tiang seri perjuangan PAS sejak sekian lama? Jika mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam PAS!
Jika beliau tidak berpandangan Islam dan politik perlu selari, tetapi terus terlibat dengan politik dengan jubah seorang mufti, maka dengan sendirinya beliau telah menjadi ejen. Dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen Umno. Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.
Saya kira, jika seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa). Cukuplah sekadar itu respon balas saya terhadap kenyataan beliau.
* Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ialah Menteri Besar Kelantan. Siaran berita ini dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Kelantan.

ONG TEE KEAT ATAU MCA BAKAL BERKUBUR


Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat (gambar) hari ini mengaku isu kontroversi Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mungkin menjadi punca yang mencetuskan krisis kepimpinan dan kemelut dalam parti.
Ini merupakan kali ketiga presiden parti itu memohon maaf terhadap isu berkenaan dalam tempoh dua hari.
“Saya sanggup menghadapi apa jua akibat siasatan terhadap isu berkenaan, bagaimanapun jika akibatnya membawa kesan kepada parti, saya memohon maaf kerana ia memang tidak dijangkakan,” katanya dalam ucapan penggulungannya.
Ong berkata sebagai Menteri Pengangkutan beliau sendiri yang memilih untuk memulakan siasatan terhadap isu PKFZ itu.
Ong bagaimanapun berkata siasatan berhubung isu PKFZ perlu diteruskan.